top of page
Writer's pictureBait Al-Amanah

Terima Kasih AirAsia!

Oleh Dr. Abdul Razak Ahmad, Pengarah Pengasas Bait Al-Amanah

Umum mengetahui bahawa AirAsia berada dalam keadaan yang rumit pada waktu ini. Amat menyedihkan apabila saya mengetahui bahawa AirAsia telah diklasifikasikan sebagai syarikat bertaraf PN17. Sayu pengelasan yang bukan sahaja menggambarkan kedudukan kewangan yang sempit, tetapi masa depan yang agak sukar.

Saya berdoa dalam hati kecil saya agar AirAsia akan dapat melalui saat sukar ini dan segera dan berjaya keluar dari segala kecelaruan yang melanda.

Membiarkan AirAsia gagal bukan pilihan untuk rakyat Malaysia. Ia adalah antara cerita terbaik Malaysia, meskipun bukan cerita yang sempurna.

Pada orang biasa seperti saya, ia bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan. Ia adalah sebahagian kehidupan kami orang biasa. AirAsia membolehkan saya bertemu ayah dan ibu, ketika tidak punya wang yang banyak.

Ia membolehkan keluarga kami dan ramai lagi keluarga orang lain seperti kami, terbang dengan murah untuk ke universiti atau balik kampung semasa cuti semester.

AirAsia membolehkan kami merayakan Aidil Fitri, atau apa jua perayaan bersama keluarga tercinta. Menemukan keluarga yang terpisah, dalam perayaan dan juga dalam saat duka kami. Membolehkan kami segera pulang untuk mengucapkan selamat berpisah selamanya kepada keluarga yang telah pergi ke alam abadi.

Dahulu, bercuti di luar negara adalah angan-angan semata. Ia hanya keistimewaan yang ada pada mereka yang berada. Untuk orang kecil dan biasa-biasa terbang, sangat sukar. Sama sukarnya seperti mengharapkan kita mempunyai sayap sendiri.

Sehingga terpasak dalam minda dan hati kami dengan penuh pasrah bahawa, Not Everyone Can Fly.

Namun, kerana visi yang AirAsia mulakan, kepasrahan Not Everyone Can Fly  bertukar menjadi kemampuan Now Everyone Can Fly. Ramai dari kami dan keluarga serta kawan-kawan boleh ke luar negara, mengembara dan menikmati percutian dengan kos yang munasabah.

AirAsia adalah kuasa lunak yang Malaysia tidak pernah diiktiraf. Sumbangan AirAsia kepada keterlihatan Malaysia sangat luar biasa. Di peringkat tempatan, serantau atau global. Dalam sektor pelancongan, hatta dalam dunia sukan antarabangsa.

Tidak keterlaluan jika kita melihat semua ini sebagai tugas patriotik kita untuk menyokong AirAsia dalam kudrat dan kemampuan kita yang terbatas. Ia adalah aset nasional. Kita semua adalah pemegang taruhnya.

Kepada Tony Fernandes, kita tidak pernah bertemu dan mungkin akan selamanya tidak akan bertemu. Tetapi visi saudaralah yang membolehkan ikatan kami tidak terlerai, boleh terbang untuk belajar, berniaga, mengembara dan mengerat kasih sayang dengan keluarga tercinta.

Mungkin ramai rakyat Malaysia tidak berkongsi pandangan saya. Tetapi bagi saya, AirAsia adalah cerita Malaysia yang besar dan terkait rapat dengan kehidupan saya yang biasa-biasa ini.

Dan kami yakin saudara boleh memulihkan semula AirAsia seperti mana saudara memulakannya sehingga menjadi jenama yang paling berpengaruh di peringkat global.

Selamat maju jaya AirAsia. Selagi termampu, akan kami menyokong perniagaan ini demi kelangsungannya.

Kerana AirAsia adalah cerita terbaik yang telah menjadikan kehidupan biasa kami lebih bermakna, berwarna-warni dan berpengalaman.

Terima kasih AirAsia.

15 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page