top of page
Writer's pictureBait Al-Amanah

Muda dan Matang: Untuk Malaysia Lebih Baik

Kini semakin menjadi realiti untuk rakyat Malaysia seawal umur 18 tahun ke atas berpatisipasi dalam proses demokrasi negara. Sama ada penglibatan lebih ramai orang muda ini adalah sesuatu yang baik atau tidak, masih terlalu awal untuk kita menghukumnya. Namun, melihatkan pada konteks semasa politik tanahair dan rantau ini, wujud kekhuatiran yang munasabah yang mesti diberikan perhatian oleh semua pihak.

Negara-negara di sekitar Asia Tenggara seperti Filipina dan Indonesia, serta Perancis dan Hungary di rantau Eropah, kelihatan sedang menyaksikan badai populisme. Pada masa yang sama, peranan media sosial, terutama sekali Facebook semakin penting dalam membantu menyebarluaskan wacana politik kepada khalayak yang lebih ramai dan tidak pernah tercapai sebelum ini. Termasuklah orang muda, mereka yang seawal 18 tahun malah lebih muda daripada itu.

Sebuah analisis yang diterbitkan oleh Council of Foreign Relations bertajuk ‘Southeast Asia’s Populism Is Different but Also Dangerous’ telah memberikan beberapa ciri tentang populisme yang melanda rantau ini.

Populisme Kredit Gambar: Cartoon Movement

Pertama, populisme menyerlahkan kekecewaan golongan kelas menengah dan kelas rendah terhadap demokrasi, institusi demokrasi dan para pendukungnya, kerana dianggap gagal menyelesaikan masalah berkenaan kesenjangan, jenayah dan pengimplementasian program pro-rakyat/kebajikan yang tidak tuntas. Mereka ini adalah golongan yang kecewa dan marah dengan sistem dianggap punca kesusahan.

Kedua, mereka yang menyokong pupolisme kerana memberikan kepercayaan penuh kepada sosok politik populis – mereka yang dilihat berani dan lantang menentang ‘ketidakadilan’. Selain tegas menyuarakan pendapat rakyat kebanyakan, terutama sekali kelas menengah dan kelas rendah terhadap ketidakpuasan yang timbul kepada government of the day. Mereka ini golongan yang tampil optimis biarpun hakikatnya tidaklah terlalu terbuka.

Ketiga, media sosial yang menjadi medan bebas untuk digunakan secara aktif bagi menyebarkan naratif populis yang dimainkan sosok politik. Ini termasuklah penubuhan ‘fake accounts’ dan ‘cybertroopers’ di dalam Facebook atau media sosial utama lain. Selalunya mereka dibayar dan berada dalam satu organisasi tersusun.

Najib Razak: Ikon Populis Negara

Peristiwa YAB Mantan Perdana Menteri sebagai Ketua Penasihat Barisan Nasional telah memberikan seakan keabsahan dan mengukuhkan autoritinya sebagai sebuah ikon populis. Terutama sekali dengan kempen ‘Malu Apa Bossku’, beliau ternyata telah menangkis segala persepsi negatif, terutama sekali kes-kes pecah amanah yang sedang dibicarakan sekarang. Di laman media sosial pula, beliau telah dilihat sebagai satu watak penyelamat kepada golongan-golongan terpinggir (orang Melayu-Islam, golongan berpendapatan menengah dan rendah).

Wefie para pemuda dengan YAB Mantan Perdana Menteri Kredit Gambar: Benedict Weerasena

Barangkali fenomena ini berlaku disebabkan oleh beberapa sebab. Pertama, kegagalan Kerajaan menawarkan solusi yang benar-benar berkesan dan dirasai. Kedua, kekurangan ahli politik pembangkang yang lantang dan diyakini dapat menggantikan beliau dengan lebih baik. Ketiga, ketandusan naratif ilmiah dan kritis yang bebas dalam memberikan pandangan dan timbal balas terhadap polisi dan pembawaan kerajaan semasa. Keempat, ketiadaan jaminan dari mana-mana pihak bahawa sebenarnya orang Melayu mempunyai alternatif lain yang lebih baik tanpa perlu berbalik kepada ‘pemain’ lama.

Namun, harus diakui bahawa lenggok bahasa dan isu yang dibawa oleh Bosskur adalah dalam naratif dan cara yang mudah difahami ramai. Tidak terlalu berfakta dan tidak pula terlalu trivial atau jalanan, biarpun ada kalanya dilabel sebagai sedikit ‘rempit’. Ini membentuk pesona Najib Razak sebagai seorang yang memiliki ‘authentic voice of the people’ dalam menyuarakan hal rakyat biasa-biasa.

Ternyata strategi ini telah melahirkan satu naratif yang ‘Bukan Biashe-Biashe’. Sama seperti yang digunakan Thaksin, mantan Perdana Menteri Thailand suatu ketika dahulu iaitu “I Give to All of You”,“I Belong to You”dan “I am the Mechanism which can Translate the Will of the People into State Action”.

Cabaran Golongan Muda Malaysia.

Penyertaan lebih ramai orang muda tidak akan memberikan kebaikan jika perkara-perkara asas tidak kita uruskan dengan baik.

Undi 18 Kredit Gambar: The World News

Pertama, pastikan pengundi atau calon PRU muda memahami bahawa populisme bukanlah pendekatan terbaik dalam sesebuah demokrasi. Wujud perbezaan antara populisme dan pragmatisme. Tetapi, proses ini nyata sukar. Para NGO, golongan pendidik dan asatizah serta institusi agama harus mengakui bahawa populisme bukan sahaja satu pendemik politik, tetapi mampu menjadi gas beracun yang mampu mencemarkan iklim demokrasi kita secara perlahan-lahan. Khususnya dalam dunia digital ini.

Institusi pendidikan, tokoh agama, media, ikon berpengaruh, ahli politik semasa, serta masyarakat sekeliling harus memainkan peranan yang lebih mendalam dan berkesan dalam mendidik golongan muda membezakan antara yang benar dari yang palsu, yang betul dari yang salah, malah yang baikdan yang terbaik. Agar wakil yang dipilih atau dipertandingkan adalah berdasarkan merit dan nilai. Bukan faktor luaran yang picisan seperti rupa paras, kelancaran bertutur atau salasilah keluarga berpengaruh.

Kedua, setiap parti politik mesti mula mencari dan mengasah bakat muda terbaik untuk menyertai mereka. Agar, orang muda yang terlibat bukan sekadar ramai, tetapi berkualiti dan mempunyai pendedahan yang sewajarnya.

YAB Tun Mahathir dengan YB Syed Saddiq Kredit Gambar: Facebook Syed Saddiq

Ketiga, kita semua mesti menerima dan berhadapan dengan pembaharuan ini dengan optimis tetapi teliti dan tidak terlalu teruja. Bukan kerana ia tidak baik, tetapi kita jangan sampai terlepas pandang perkara-perkara yang kritikal.

Benar yang muda tidak semestinya mentah. Yang tua belum tentu matang. Namun, demokrasi yang matang dan bermakna harus dijayakan dengan pemikiran yang rasional, sofistikated serta dipimpin oleh nilai-nilai murni masyarakat. Bukan propaganda, syak dan keraguan semata-mata.

Tahniah anak muda Malaysia. Selamat datang ke pentas demokrasi.

Penulis adalah Mohd Daud Mat Din, Pengarah Penyelidikan di Bait Al Amanah bersama Abdullah Afiq, Penyelidik di Bait Al Amanah.

*Artikel ini telah diterbitkan dalam Malaysiakini

13 views0 comments

Comentários


Post: Blog2_Post
bottom of page