Selaku penduduk Pasir Gudang, saya sentiasa terpanggil dan mengikut rapat perkembangan insiden pencemaran berulang di kawasan ini. Isu ini nampaknya belum selesai. Dan tidak kelihatan akan selesai dalam masa terdekat.
Sedangkan pencemaran di Pasir Gudang adalah serius dan sudah mencapai tahap yang boleh mengancam nyawa.
Yang sangat mengecewakan adalah apabila sehingga kini kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan masih tidak memberikan sebarang jaminan bahawa Pasir Gudang sebenarnya selamat untuk terus didiami. Malah, kita juga belum mendengar sebarang pelan tindakan dari pihak berwajib.
Memandangkan Menteri Besar Johor sendiri hanya berhenti setakat meminta maaf, pasukan saya melalui kerjasama dengan institut pemikir Bait Al Amanah telah menganjurkan satu forum terbuka berhubung hala tuju isu pencemaran Pasir Gudang.
Poster Forum Hala Tuju Isu Pencemaran Pasir Gudang
Forum intelektual terbuka ini telah membuka perkongsian daripada empat orang pakar alam sekitar iaitu Ir. Dr Zaki Zainudin; pakar kualiti air, En. Vincent Chow; Timbalan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Dr. Japareng Lalung; pensyarah kanan USM dan Dr. Serina Rahman dari Yusuf Ishak Institute ISEAS, Singapura.
Banyak perkara dan saranan menarik telah dikemukakan oleh pakar-pakar ini. Malah, orang awam yang menghadiri program ini juga telah meluahkan pelbagai pandangan serta kekhuatiran mereka.
Wakil kawasan perumahan meluahkan pandangan berkenaan dengan kepentingan pengambilan tindakan yang wajar secepat mungkin
Antara perkara yang boleh dirumuskan secara umum dan kolektif, forum tersebut telah mendengar cadangan-cadangan hala tuju seperti:
* Penduduk setempat mesti didedahkan dengan pelbagai pendidikan alam sekitar agar berupaya untuk bersama-sama memantau keadaan alam sekitar dan bertindak dengan baik sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
* Pihak-pihak industri diharapkan akan lebih aktif dan terlibat dalam membantu dan menyumbang ke arah kesejahteraan penduduk setempat. Ini termasuklah mewujudkan dana khas yang boleh digunakan untuk kebaikan penduduk setempat.
* Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat mesti diberikan pendedahan serta latihan yang rapi dan mendalam. Malah, wujud persoalan sama ada standard atau prosedur yang digunakan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sekarang ini masih lagi praktikal dan bersesuaian.
Ahli Panelis menjawab soalan pertanyaan peserta Forum
* Sekiranya bersesuaian, adalah wajar untuk diwujudkan jabatan dan jawatan pegawai alam sekitar yang profesional dan berkepakaran oleh PBT Pasir Gudang itu sendiri yang tugas dan tanggungjawabnya adalah memantau keadaan alam sekitar Pasir Gudang setiap masa.
* Impak dan tahap kesihatan semua mangsa mesti terus diberikan perhatian khususnya oleh pihak kerajaan agar langkah rawatan yang bersesuaian dapat diambil. Malah, satu pemeriksaan lengkap dan berkala harus dilakukan untuk mengenal pasti kesan dan risiko-risiko lain termasuklah risiko kanser.
* Pihak Kerajaan Negeri dilihat gagal menguruskan isu ini terutamanya dalam aspek penyampaian maklumat serta kebajikan mangsa dan keluarga.
Dr. Japareng Lalung selaku pensyarah kanan USM berkongsi pendapatnya tentang pencemaran Pasir Gudang
* Aspek keselamatan dan kualiti makanan laut mesti turut diberikan perhatian. Misalnya, kupang yang diternak di laut yang berdekatan dengan muara yang menemukan Sungai Kim Kim dan laut. Laut di sekitarnya bukan sahaja mesti dibersihkan. Tetapi dipulihkan agar kekal lestari dan boleh terus menjadi sumber kehidupan.
* Kebajikan serta kelestarian hidup pihak-pihak lain seperti penduduk kampung dan para nelayan mesti turut diberikan perhatian oleh Kerajaan. Setakat ini, dipercayai tidak ada pihak yang benar-benar mendekati dan mempedulikan mereka. Sedangkan mereka juga sangat terkesan dengan insiden ini.
Dr Serina Rahman mengutarakan kebajikan dan kelestarian hidup penduduk kampung dan para nelayan.
* Satu pelan pemulihan mesti dibincangkan secara serius dan mendalam oleh semua pemegang taruh. Pelan ini mestilah dilaksanakan secara saintifik, radikal dan strategik dengan penilaian berkala dibentangkan kepada masyarakat. Ini kerana, pencemaran di Pasir Gudang berlaku dalam pelbagai bentuk – air dan udara. Pelaksanaan penguatkuasaan mestilah dijalankan dengan cara yang baharu. Kilang-kilang haram hendaklah ditutup dan industri berat mesti dikawal selia secara ketat. Termasuklah meletakkan pegawai SPRM untuk sama-sama terlibat. Pembangunan perumahan di kawasan berkenaan mesti dihentikan.
Pakar kualiti air Ir. Dr Zaki Zainudin membentangkan cadangan-cadangan bernas untuk mengatasi masalah pencemaran Sungai Kim Kim
Pasir Gudang mesti menjadi pengajaran yang bermakna buat semua. Perkara sedemikian mesti dielakkan daripada berlaku di mana-mana tempat lain. Selaku penduduk di sini, saya sangat berharap yang dapatan serta saranan yang dibincangkan dalam seminar ini akan mendapat perhatian yang serius dan profesional daripada pihak kerajaan negeri.
Pihak kerajaan negeri mesti berlapang dada dan tidak ego untuk mendapatkan bantuan serta saranan daripada pihak yang lebih pakar dan berkemahiran. Pihak saya akan sedaya upaya membantu dan menyumbang atas kapasiti yang ada demi memastikan Pasir Gudang pulih kembali.
Saya dan pasukan saya sentiasa menegaskan bahawa isu ini tidak seharusnya dilihat dari perspektif politik sama sekali. Ini kerana, yang menjadi mangsa adalah orang awam dan para pelajar sekolah yang tidak berdosa.
Semoga isu ini akan menemui jalan keluar yang sewajarnya.
Sesi Bergambar ahli panelis bersama pihak penganjur Forum
*Artikel ini telah diterbitkan dalam Utusan.com
Comentários