top of page
  • Writer's pictureBait Al-Amanah

JDT : Juara Dalam Tangan

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim sudah tidak asing di Malaysia. Ia sentiasa menjadi siulan di bibir masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Kejayaan demi kejayaan telah dicipta oleh kelab ini selepas mendapat sentuhan transformasi dari DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

*Gambar dipetik daripada Johor Southern Tigers

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim yang baru-baru ini merampas Piala Malaysia 2017 dari negeri Kedah. Kejayaan pasukan JDT merangkul Piala Malaysia 2017 telah menamatkan kemarau selama 26 tahun. Kali terakhir piala ini berada dalam genggaman pasukan Johor adalah pada tahun 1991 lalu.

Lebih istimewa, JDT telah melakar sejarah dalam dunia bola sepak apabila merangkul kemenangan empat kali berturut-turut Piala Liga Super dari tahun dari tahun 2014 hingga tahun 2017.

“Kejayaan JDT ini adalah satu dari seribu pencapaian Johor yang lain. Johor hanya mahu menjadi yang terbaik. Johor No 1, untuk Johor yang terus maju. Pelbagai kejayaan JDT ini menandakan bermulanya dekad baharu Johor. Dekad yang menyaksikan bukan sahaja kita bakal menjadi kuasa ekonomi baharu Malaysia, tetapi juga kuasa baru sukan Malaysia”, ulas YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin.

Kejayaan yang konsisten oleh JDT telah menjadi satu platform terbaik untuk mengukuhkan lagi nama negeri Johor di mata dunia. Johor bukan sahaja mahu menjadi kuasa besar ekonomi di Malaysia, malah kuasa besar bola sepak di Malaysia yang digeruni oleh pasukan lain.

Yang lebih penting, JDT turut dilihat sebagai wadah utama kepada penyatuan bangsa Johor, tanpa mengenal warna kulit mahupun peringkat umur. Ini menunjukkan negeri Johor mempunyai bangsa yang berjiwa besar dan tidak prejudis terhadap kaum lain.

Sebagai anak muda di negeri ini, saya tidak dapat menyembunyikan rasa bangga apabila dimaklumkan yang semua hadiah kemenangan yang diraih oleh pasukan ini diserahkan sebagai sumbangan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang. Sikap keprihatinan yang ditunjukkan ini, bukan meletakkan kelab ini dalam kelas yang tersendiri. Tetapi menjadi satu rangsangan dan contoh teladan yang baik kepada semua Orang Muda Johor (OMJ).

Malah, kecemerlangan JDT juga dapat memecahkan tembok persepsi rakyat yang menganggap bidang sukan tidak membawa apa-apa impak yang signifikan kepada negeri mahupun negara. Sedangkan perkembangan dan sikap seperti ini jelas mampu menjadikan Johor jauh 50 langkah ke hadapan berbanding negeri lain.

Perkara ini pastinya satu pelengkap yang baik kepada segala kecemerlangan yang sedang dipamerkan oleh Menteri Besar Johor dalam mengemudi Johor menjadi negeri terbaik di Malaysia. Malah, sejak memegang pentadbiran Kerajaan Negeri bermula 2014 yang lalu, beliau terus dilihat sebagai antara tonggak utama yang telah memberikan satu imej baru yang progresif dan maju kepada Johor.

Pendek kata, kita tidak dapat menolak hakikat bahawa kesemua pencapaian dan kejayaan seperti ini boleh dianggap sebagai permulaan yang baik kepada dekad baharu Johor untuk terus maju ke hadapan. Semoga Johor kekal sebagai No.1.

*Artikel ini juga telah diterbitkan di Utusan Online dan Johor Southern tigers Official Website  

5 views0 comments
Post: Blog2_Post
bottom of page