BRT atau Bas Rapid Transit merupakan pengangkutan awam pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi mesra alam. Sistem pengangkutan BRT laluan Sunway merupakan sistem pengangkutan BRT pertama yang diperkenalkan pada tahun 2015 di Malaysia.
*Gambar ini yang menunjukkan BRT laluan Sunway dipetik daripada Property Insight
Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin telah membuat keputusan akan melaksanakan projek sistem pengangkutan BRT di Iskandar Malaysia pada tahun hadapan.
Sudah tentu terdapat pelbagai percaturan yang telah dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri sebelum memutuskan untuk menggunakan sistem pengangkutan BRT berbanding Transit Aliran Ringan (LRT) atau Transit Aliran Massa (MRT).
Alasan-alasan kukuh ini yang menjadi titik tolak kepada Kerajaan Negeri untuk menggunakan sistem pengangkutan BRT berbanding LRT atau MRT.
Pertama, Kerajaan Negeri telah mengambil kira populasi penduduk. Melihat kepada populasi penduduk di Johor Bahru dan Iskandar Malaysia masih dikira kecil untuk mewajarkan pembinaan sebuah sistem pengangkutan LRT atau MRT.
Kedua, kos perbelanjaan sistem pengangkutan BRT lebih murah berbanding dengan sistem pengangkutan LRT dan MRT. Sebab itulah, Kerajaan Negeri memilih untuk menggunakan sistem pengangkutan BRT.
Tidak praktikal sekiranya Kerajaan Negeri ingin membina sistem pengangkutan LRT atau MRT dengan populasi penduduk yang kecil.
Tambahan lagi, kedua-dua sistem pengangkutan ini menelan perbenlanjaan yang tinggi. Sekali gus akan menyebabkan harga dan caj tiket akan menjadi mahal. Sudah tentu ia akan membebankan rakyat pada masa akan datang.
Menurut institut kajian bernama iaitu Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) kos pembinaan sistem pengangkutan BRT adalah lebih rendah berbanding dengan MRT.
Yakni, kos pembinaannya hanya lebih kurang RM20 juta sekilometer. Berbanding dengan pembinaan sistem pengangkutan MRT yang menelan kos hampir RM353 juta sekilometer.
Tidak hairanlah, bandar-bandar seperti Manchester, Brisbane, Stockhom dan sebagainya memilih untuk menggunakan sistem pengangkutan BRT berbanding LRT dan MRT.
Dalam pada itu, pembinaan sistem pengangkutan BRT banyak memberi manfaat kepada rakyat dan juga alam sekitar. Misalnya penggunaan BRT dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas. Ini kerana BRT mempunyai laluan khas yang tidak perlu berkongsi dengan mana-mana perkhidmatan lain.
Seperti yang kita sedia maklum sistem pengangkutan BRT merupakan sistem pengangkutan yang mesra alam. Secara tidak langsung, penggunaan BRT ini dapat menggurangkan pelepasan gas karbon monoksida ke atmosfera yang semakin hari semakin tenat.
Jadi, saya rasa alasan-alasan ini sudah cukup untuk membuktikan sistem pengangkutan BRT lebih realistik untuk dibina di Iskandar Malaysia. Namun begitu, Kerajaan Negeri tidak menolak sekiranya pada masa akan datang memungkinkan untuk membina LRT atau MRT di Iskandar Malaysia.
*Artikel ini juga telah diterbitkan di Berita Daily
Comentários