top of page
  • Writer's pictureBait Al-Amanah

SEED Community: Surat Terbuka berkaitan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Anti Lompat Parti

Updated: Jan 19, 2023

Surat Terbuka kepada Jawatankuasaa Pilihan Khas berkaitan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Anti-Lompat Parti

Komuniti Perintis Untuk Parlimen Professional

14 April 2022


PER: SARANAN BERKAITAN PERJALANAN DAN KANDUNGAN PROSIDING JAWATANKUASA PILIHAN KHAS


Terlebih dahulu kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, menyambut baik penubuhan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) khusus bagi meneliti penggubalan Undang-undang Anti-Lompat (UAL) dan perkara-perkara yang berkaitan. Kami juga memuji sikap matang kesemua 59 orang Ahli Parlimen (MP) yang terlibat dalam perbahasan secara sihat yang menyentuh pelbagai aspek serta mendalam dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada Isnin (11 April) lepas. Seperti apa yang disebut YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai "manifestasi politik sihat" dan perdebatan profesional juga mendalam yang didambakan dalam sebuah negara demokrasi sihat ini, mesti diteruskan. Tahniah!


2. Setelah kami meneliti dengan rapat perkembangan dan mengadakan perbincangan berkaitan isu ini, kami telah sepakat menyenaraikan saranan konstruktif kepada JKPK untuk dipertimbangkan, seperti berikut:


  1. Bahawa musyawarah JKPK diperkembangkan untuk merangkumi segala isu yang berkaitan dengan isu lompat parti seperti pindaan terhadap Akta Pertubuhan 1966, pengkanunan peruntukan pembangunan kawasan (CDF), lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pendanaan politik, kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Rakyat Malaysia umumnya inginkan semua isu di atas yang menggalakkan gejala lompat parti dipertimbangkan untuk dicari jalan penyelesaiannya, namun jika ruang lingkup perbincangan yang terlalu sempit hanya akan menghampakan orang ramai dan menjejaskan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan dalam isu UAL ini.

  2. Bahawa JKPK menjemput secara terbuka semua pemegang taruh - MP, parti politik, organisasi masyarakat madani (CSO), ahli akademik, dan individu-individu - untuk memberi cadangan secara bertulis kemudian memilih di kalangan mereka yang dijemput untuk membentang pandangan mereka secara terperinci di hadapan JKPK.

  3. Bahawa JKPK akan menggunakan budi bicaranya akan memuatnaik segala cadangan bertulis oleh orang awam di laman sesawang Parlimen Malaysia dan menyiarkan - secara langsung dan terbuka - semua sesi libat urus dengan semua yang dijemput, kecuali mereka yang memilih untuk tidak diumumkan cadangan atau libat urus bersama mereka. Hal ini akan membolehkan orang awam dan pemegang taruh dapat mengikuti proses musyawarah JPKP dengan lebih jelas dan telus.

  4. Bahawa JKPK akan menyiarkan kepada orang awam secara mingguan dan berperingkat dapatan dan keputusan JKPK terutamanya deraf UAL yang terkini. Dengan cara ini, JKPK boleh mengadakan perbincangan tertutup dan pada masa yang sama membolehkan orang awam mengikut perkembangan JKPK. Dalam kata lain, JKPK boleh menyelesaikan isu demi isu ke arah syor-syor terakhir, tanpa membuat pusingan U yang tidak dijangka. JKPK harus mengambil iktibar kerumitan dalam libat urus bermula dari November 2021 sehinggalah 6 April 2022, yang mana rundingan dan keputusan awal boleh dibangkitkan semula dan ditolak pada saat-saat akhir.

  5. Bahawa syor-syor JKPK akan dibentangkan dalam Parlimen dan sebarang pindaan dan keputusan lain dibuat hanya dalam Mesyuarat Dewan Parlimen, dan bukannya dalam mesyuarat kabinet; serta semua MP diberikan hak untuk mengundi secara bebas dan tidak dikongkong oleh arahan parti. Ia akan memberi ruang kepada MP membuat keputusan secara bebas tanpa mengakibatkan kuasa veto secara hakiki oleh segelintir MP untuk menggagalkan UAL sekaligus menggagalkan MoU antara Kerajaan dan blok utama Pembangkang. Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri selaku Ketua Majlis harus menetapkan suatu tarikh bagi sebuah Sidang Khas kedua berkaitan pindaan perundangan ini seperti dijanjikan, dalam masa terdekat.

  6. Bahawa JKPK akan mengesyorkan agar sama ada tempoh perjalanan JKPK ini wajar dilanjutkan atau JKPK baru ditubuhkan untuk meneliti dan mengemukakan syor untuk isu-isu lain yang menyumbang kepada aktiviti lompat parti - seperti yang disenaraikan di (1) di atas tetapi tidak harus dimasukkan dalam UAL. Jika perlu, JKPK ini atau JKPK yang baharu kelak harus berfungsi sehingga akhir penggal Parlimen kali ini, sepertimana semangat yang digambarkan dalam MoU.

  7. Mencadangkan supaya JKPK melantik beberapa orang penasihat daripada CSO dan akademia yang mahir serta pakar berkaitan isu yang sedang diteliti JKPK. Kami mencadangkan dua orang individu yang dikenali dengan kepakaran dalam bidang berkenaan, seperti berikut:

  • Prof Wong Chin Huat, Saintis Politik, Sunway University

  • Maha Balakrishnan, Pakar Demokrasi Berparlimen Dan Felo Penyelidik

  • Jeffrey Cheah Institute, Sunway University


3. Kami berharap pihak JKPK dapat memberikan perhatian sekaligus mengambil tindakan sewajarnya terhadap setiap saranan di atas. Diharapkan proses pembentukan sebuah perundangan berkaitan isu lompat parti ini berjalan dengan penuh demokratik dan telus. Selamat maju jaya!

Sekian, terima kasih.

 

Surat terbuka ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Boleh kunjungi Laman FB kami untuk kenyataan media dan bahan kempen lain: https://www.facebook.com/SC4PP

Ditandatangani oleh:

1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)

2. Engage Network

3. Bait Al-Amanah

4. Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)

5. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)

6. Persatuan Pengundi Muda (Undi18)

7. WISDOM Foundation










30 views0 comments
Post: Blog2_Post
bottom of page