Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, memandang serius kegagalan forum untuk dipenuhi ketika sesi sebelah petang persidangan Dewan Rakyat 21 September 2021. Situasi ini menyebabkan persidangan terpaksa ditempohkan sementara waktu untuk memanggil Ahli Parlimen masuk ke Dewan demi mencukupkan kuorum sekurang-kurangnya 26 orang (12%) bagi menyambung persidangan.
Kami membidas insiden yang memalukan dengan 201 (91%) Ahli Parlimen telah ponteng sidang dan boleh dianggap sebagai menghina Dewan yang mulia serta mencemarkan imej selaku wakil rakyat yang memikul amanah berat daripada rakyat. Sikap acuh tidak acuh ini mencerminkan ketidakseriusan para Ahli Parlimen tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang dalam menjalankan tanggungjawab, menjaga disiplin dan amanah ketika sesi persidangan Parlimen masih berjalan.
Kami kecewa dan mempersoal apakah laungan untuk buka Parlimen sebelum ini ketika Darurat oleh sebahagian besar Ahli Parlimen khususnya di pihak pembangkang dan UMNO, hanya sekadar retorik dan halwa telinga? Ini juga seolah-olah memperlekehkan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan PNBN-GPS-PBS dan pembangkang rasmi PH yang melaung-laungkan reformasi parlimen.
Sekalipun tidak mungkin semua Ahli Parlimen berada dalam Dewan setiap masa, memalukan sekali apabila kuorum serendah 26 ahli, yang kurang daripada jumlah Ahli Parlimen bagi mana-mana gabungan PH (90), PN (54), BN (42) dan parti DAP (42), UMNO (38), PKR (35), dan Bersatu (31), pun tidak dapat dipenuhi. Ketua whip parti untuk gabungan PH, PN, BN dan parti DAP, UMNO, PKR, dan Bersatu, perlu memohon maaf terbuka dan tanpa syarat kepada rakyat Malaysia atas sikap tidak bersyukur dan kegagalan gabungan atau parti mereka memastikan Parlimen dapat berjalan setelah diberi amanah dengan memenangi lebih kerusi daripada kuorum di Parlimen.
Justeru, kami mendesak ketua parti, gabungan dan setiap Ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat di Dewan Rakyat supaya memastikan wujudnya penyelarasan dalaman dan antara parti atau gabungan yang boleh menjamin;
a) Kehadiran sekurang-kurangnya 50% ahli pada bila-bila masa semasa persidangan. b) Kehadiran sekurang-kurangnya 50% hari persidangan bagi setiap Ahli Parlimen. c) tidak lagi sekalipun gagal mencapai kuorum 26 orang ahli pada setiap sesi persidangan.
Kami dan seluruh rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi agar semua Ahli Parlimen sedar akan tanggungjawab dan amanah yang mereka pikul selaku wakil kepada suara rakyat. Telah ramai yang memperjuangkan agar parlimen dapat bersidang semula maka manfaatkanlah sesi Parlimen kali ini seoptimum mungkin untuk membawa isu rakyat dan negara demi kemaslahatan ekonomi dan kehidupan rakyat terbanyak, lebih-lebih lagi di kala pandemik COVID-19 belum reda kini.
Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.
Sila kunjungi Laman Facebook kami untuk kenyataan media dan bahan kempen lain: https://www.facebook.com/SC4PP
Ditandatangani oleh:
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
ENGAGE
Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)
Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
Bait Al-Amanah
*For the English version of the Statement, please refer below:
Commenti