Isu pencemaran alam sekitar merentas sempadan bukan perkara baharu. Malah, natijahnya tidak terhenti setakat mengancam kesejahteraan dan kesihatan hidupan di bumi. Ia turut mempunyai impak ekonomi dan sosial yang sangat teruk. Dalam keadaan tertentu, isu pencemaran alam sekitar akan meleret ke kancah politik, hubungan diplomasi serta boleh menjadi krisis kemanusiaan. Dari fenomena jerebu rentas sempadan yang dihasilkan oleh teknik tanaman pindah bagi estet kelapa sawit di Indonesia, hingga isu pencemaran Sungai Buah yang merentasi sempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Pencemaran rentas sempadan amat rumit untuk diatasi.
*Sumber Gambar: Asia Jute
Isu ini memerlukan komitmen dan iltizam pentadbir kedua-dua pihak untuk berganding bahu dan bekerjasama dalam mengatasi punca pencemaran. Lebih penting, pentadbiran yang berbeza perlu terlebih dahulu mengetepikan perbezaan politik dan pendirian peribadi yang mungkin saling bertentangan. Kelemahan komitmen dan iltizam inilah yang selalunya menyukarkan usaha untuk mengurangkan pencemaran, sehingga jerebu menjadi “acara tahunan” yang mengancam kualiti hidup. Dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, negara kita mengamalkan mekanisme yang unik.
Dalam kes mahkamah Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar & Anor v Kajing Tubek & Ors [1997] 4 CLJ 253, hakim Mahkamah Rayuan Yang Arif Mokhtar Sidin telah memutuskan bahawa ‘Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut secara jelas perkataan “alam sekitar” dalam senarai bidang kuasa persekutuan, negeri, mahupun bersama; sebaliknya hanya memecahkan mengikut komponen-komponen tertentu”. Hal ini bermaksud, Perlembagaan Persekutuan sebenarnya membenarkan kedua-dua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk membuat inisiatif berkenaan alam sekitar. Persoalannya kini, adakah status quoini sudah cukup baik dan wajar dikekalkan? Atau kita sebenarnya memerlukan pendekatan baharu?
Antara cadangan yang sering kira dengar adalah saranan untuk memberikan mandat pengurusan alam sekitar kepada kerajaan setiap negeri. Perkara ini bertujuan membolehkan inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar akan diserahkan secara total kepada kerajaan negeri, manakala kerajaan persekutuan hanya akan menjadi badan pemantau. Antara kebaikan cadangan ini ialah pemfokusan isu alam sekitar yang berbeza-beza mengikut lokaliti dan kawasan setempat. Misalnya, isu alam sekitar di Kelantan biasanya berkisar tentang pembalakan, kawasan tadahan hujan, pencemaran air dan tanah. Manakala, isu alam sekitar di negeri dengan sektor perindustrian yang maju seperti Johor mungkin lebih kepada isu pencemaran yang diakibatkan oleh aktiviti industri yang mencemarkan udara dan sungai.
Selain itu, delegasi bidang kuasa alam sekitar kepada kerajaan negeri akan mengurangkan tanggungan beban pencemaran alam sekitar kepada kerajaan persekutuan. Misalnya, pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim yang terletak dalam kawasan industri berat Pasir Gudang, Johor memakan kos sebanyak RM6.4 juta untuk dibersihkan.
Pencemaran Sungai Kim Kim *Sumber Gambar: Channel News Asia
Malah, situasi yang serius tersebut memerlukan kerjasama bersama Angkatan Tentera Malaysia dan PETRONAS. Bayangkan, pencemaran cuma sebatang sungai memakan belanja berjuta-juta ringgit untuk dibersihkan, inikan pula 51 batang sungai yang telah diisytiharkan tercemar oleh Jabatan Alam Sekitar. Dengan memberikan mandat pengurusan alam sekitar kepada kerajaan negeri, ia dijangka akan meningkatkan keseriusan, kesungguhan dan kecekapan pengurusan sungai oleh Kerajaan Negeri. Hal ini kerana, pemantauan yang ketat dan berkesan oleh Pihak Berkuasa Tempatan sudah tentu akan membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Kerajaan Negeri Ambil Kesempatan
Namun begitu, pemberian mandat pengurusan alam sekitar kepada kerajaan negeri tidak semudah dan sebaik yang difikirkan. Pendekatan ini akan menggagalkan mekanisme semak dan imbang dalam isu alam sekitar. Dalam sistem semasa, pihak berkuasa perancang bandar (agensi kerajaan negeri) berkuasa untuk meluluskan projek pembangunan setelah projek tersebut memperoleh Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) dari Jabatan Alam Sekitar (agensi kerajaan persekutuan). Andai perkara ini dihapuskan – dengan meletakkan pengurusan alam sekitar di bawah Kerajaan Negeri, sudah pasti kuasa mutlak berhubung alam sekitar akan berpusat kepada kerajaan negeri, terutamanya dalam meluluskan projek. Bahkan, perkara ini membuka ruang dan meninggikan kebarangkalian untuk kerajaan negeri memansuhkan terus keperluan mengemukakan laporan EIA untuk memohon kelulusan projek.
Ilustrasi Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) *Sumber Gambar: International Institute for Sustainable Development
Dalam artikel “Jurisdictional Mismatch in Environmental Federalism” oleh Jonathan H. Adler dari Case Western University of Law pada tahun 2005 mendedahkan kecenderungan kerajaan negeri-negeri di Amerika Syarikat untuk menggubal undang-undang alam sekitar yang lebih longgar bagi membolehkan industri di sana mengeksploitasi sumber alam dengan ‘sah’ tanpa menghiraukan impak negatifnya terhadap alam sekitar.
Bukan itu sahaja, artikel yang sama juga menyatakan bahawa pendekatan ini mewujudkan mentaliti “Not in My Backyard”. Maknanya, negeri-negeri yang berbeza dikhuatiri akan bersikap acuh tidak acuh sekali gus terdorong untuk tidak akan menghiraukan pencemaran yang berlaku di negeri lain kerana ia tidak berlaku dalam lingkungan negeri mereka. Akhirnya, sempadan antara negeri akan secara tidak langsung menjadi sempadan bidang kuasa yang mengehadkan tanggungjawab dan sensitiviti dalam menguruskan alam sekitar.
Alam Sekitar Tanggungjawab Semua
Sebenarnya, jika kita ingin menganalisis pihak manakah yang lebih layak dan berupaya untuk menguruskan pencemaran alam sekitar dengan berkesan, ia akan menjadi satu perdebatan yang tidak akan pernah selesai. Malah, ia hanya akan membawa kepada adegan tuding-menuding antara pihak-pihak yang bertanggungjawab. Yang kita perlukan pada saat ini adalah iltizam politik semua pihak untuk mengangkat isu alam sekitar ke tahap yang lebih diutamakan. Kerjasama yang ampuh dan kesiapsiagaan pihak berkuasa untuk menghukum mereka yang mencemarkan alam, serta inisiatif untuk memelihara dan memulihara sumber alam sedia ada mesti digandakan.
Penggubalan Akta Perlindungan Alam Sekitar yang baharu yang sedang dijalankan merupakan petanda baik dalam menangani krisis alam sekitar dengan lebih serius dan menyeluruh, sekaligus menyampaikan mesej moral keseriusan kerajaan dalam menangani isu alam sekitar yang berubah seiring dengan peredaran zaman.
Pada analisis akhir, yang mesti kita sedar dan sebar luaskan adalah tanggungjawab memelihara dan memulihara alam sekitar itu merupakan tanggungjawab semua. Ia tidak harus ditewaskan oleh elemen teknikal dan perbalahan bidang kuasa yang akhirnya menjadikan alam sekitar sebagai mangsa yang tidak terbela. Janganlah berdolak dalih sesama kita. Kerana, dalam isu alam sekitar, kita semua ini sebenarnya adalah pencemar yang berdosa.
Comments