top of page
  • Writer's pictureBait Al-Amanah

Parlimen Perlu Undi Pelan Pemulihan Negara dan Pinda Peraturan Mesyuarat untuk Membenarkan Mesyuarat

Kenyataan Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional 27 Julai 2021

1. Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, mencadangkan sidang Parlimen kali ini harus membawa dan meluluskan sebuah usul bagi Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat untuk mengkaji sekaligus mencadangkan pindaan peruntukan Peraturan Mesyuarat bagi membenarkan semua mesyuarat Jawatankuasa Parlimen boleh dijalankan secara maya atau hibrid. Proses pindaan Peraturan Mesyuarat ini juga perlu dilakukan secara libat urus dengan semua pemegang taruh secara telus and inklusif.

2. Pindaan ini adalah untuk memastikan semua Jawatankuasa Parlimen dapat berfungsi dengan sepenuhnya tanpa kekangan Peraturan Mesyuarat ketika ancaman ganas wabak COVID-19 kini dan juga masa depan. Ia akan memudahkan semua Ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen, terutamanya dari Sabah dan Sarawak, untuk terus menjalankan tanggungjawab mereka dalam Jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen.

3. Seperti dalam tuntutan kami sebelum ini, kami meminta supaya rancangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bukan sahaja dibentangkan oleh Perdana Menteri, tetapi diberikan seluas-luasnya ruang perbahasan dan pengundian kepada semua Ahli Parlimen. Perkara ini adalah supaya semua Ahli Parlimen dapat memberi cadangan dan kritikan bagi menambahbaik rancangan pemulihan dalam mencari penyelesaian terbaik menangani wabak COVID-19. Persetujuan ke atas PPN dengan sokongan padu daripada semua Ahli Parlimen melalui proses pengundian adalah amat penting kerana pengawalan wabak COVID-19 dan pemulihan ekonomi memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk ianya berjaya.

4. Kelulusan PPN melalui pengundian oleh semua Ahli Parlimen adalah amat penting supaya Kerajaan Perikatan Nasional, terutamanya Perdana Menteri, mengambil sikap yang lebih serius dan bertanggungjawab terhadap perbahasan dan cadangan-cadangan daripada semua Ahli Parlimen. Justeru, Perdana Menteri perlu kekal berada di dalam dewan Parlimen untuk menjawab soalan-soalan dan mendengar cadangan-cadangan daripada Ahli-ahli Parlimen serta tidak menghilangkan diri setelah membuat pembentangan seperti semalam. Dalam demokrasi berparlimen, Perdana Menteri perlu bertanggungjawab kepada Parlimen. Kami mendesak Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan untuk menghormati institusi Parlimen dan sekaligus mengamalkan prinsip kebertanggungjawaban terhadap Parlimen. Perdana Menteri dan menteri-menteri yang lain perlu terus kekal berada di dalam dewan Parlimen untuk menjawab pelbagai persoalan yang bakal ditimbulkan bagi tempoh tiga hari mendatang.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Ditandatangani oleh:

1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) 2. ENGAGE 3. Institute for Political Reform and Democracy (REFORM) 4. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) 5. Persatuan Pengundi Muda (UNDI18) 6. Bait Al-Amanah

2 views0 comments
Post: Blog2_Post
bottom of page