Fenomena kelesuan politik (political fatigue) kini melanda sebahagian besar rakyat Malaysia. Wujudnya pemimpin politik yang pentingkan diri membuatkan rakyat hilang keyakinan terhadap kepemimpinan mereka.
Sentimen ini dikukuhkan lagi dengan peristiwa ‘Langkah Sheraton’ yang telah mengheret negara kita kepada ketidakstabilan politik berbulan lamanya. Rentetan itu, ramai pengundi yang berpendirian bahawa tiada gunanya bersusah payah keluar atau balik mengundi sekiranya ia tidak akan membawa perubahan bermakna kepada negara.
Dalam segmen Naratif Khas PRU15: ‘Boikot Undi, Siapa Untung?’, saudara Shahrill Sabaruddin, Felo Penyelidik Kanan Bait Al Amanah menegaskan bahawa perbuatan memboikot undi adalah satu kerugian besar buat negara, khususnya terhadap masa depan anak muda. Jika trend ini dibiarkan menjadi norma, ia akan memberi kesan terhadap pengolahan manifesto parti dalam jangka masa panjang. Natijahnya, keperluan dan kepentingan golongan terlibat mungkin tidak lagi diberikan perhatian.
Kelesuan politik tidak seharusnya menghalang rakyat menggunakan mandat penting ini bagi memilih pemimpin dan kerajaan untuk mentadbir negara serta negeri. Kegagalan menunaikan hak dan tanggungjawab berkenaan secara tak langsung menempah masa depan negara yang kelam.
Apakah kesan memboikot undi? Apakah langkah yang perlu diambil untuk memurnikan keengganan mengundi? Adakah tawaran manifesto yang senada dengan kehendak rakyat bakal memberi peluang besar untuk parti memenangi PRU-15?
Saksikan rakaman ulasan penuh Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi (Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya dan Felo Penyelidik Bersekutu Bait Al Amanah) dan saudara Shahrill Sabarudin (Felo Penyelidik Kanan Bait Al Amanah) dalam sesi Naratif Khas PRU15.
コメント