top of page
  • Writer's pictureBait Al-Amanah

Buka mata pilih calon berwawasan


Isu agama dan perkauman mungkin terus menjadi modal politik walaupun Yang di-Pertuan Agong dan Sultan bertitah supaya ia tidak dimanipulasi untuk meraih undi dalam PRN. Apa pandangan?


Titah dan saranan ini adalah langkah positif untuk memerangi politik identiti yang memecahbelahkan masyarakat sejak sekian lama.Jika kita menelusuri sejarah penubuhan setiap parti politik, kedua-dua aspek ini menjadi antara tunjang utama perjuangannya.


Namun, ahli politik perlu bijak membezakan antara semangat memperjuangkan bangsa dan agama dengan tindakan memanipulasikannya demi kepentingan peribadi. Semangat perjuangan mestilah dimanifestasikan secara konkrit dalam bentuk perancangan jangka panjang, bukan hanya untuk mendapatkan sokongan semata-mata. Perubahan seperti ini memerlukan iltizam parti politik masing-masing untuk mengubah citra berpolitik yang lebih matang.


PRU15 menyaksikan kekuatan naratif ‘agama dan perkauman’ kelihatan masih berbisa untuk mempengaruhi sejumlah besar pengundi atas pagar, anak muda dan khususnya pengguna media sosial. Maka tidak hairanlah jika parti politik masih selesa untuk terus menunggang isu-isu sensitif ini berbanding mengangkat isu-isu nasional yang lebih meruncing, biarpun ianya boleh menggugat keharmonian negara kita.


Walaupun pendekatan ini kotor dan lapuk, ianya akan tetap digunakan sebagai ‘jalan pintas’ orang politik, selagi mana ianya berhasil untuk memperdaya pengundi. Justeru, rakyat tidak boleh membiarkan diri diperkutak-katikkan lagi. Sudah tiba masanya untuk rakyat ‘membuka mata’ dan memilih calon berdasarkan merit dan ketokohan serta hala tuju parti yang jelas untuk membangunkan Malaysia yang harmoni dan berdaya saing.


Jika parti politik ternyata gagal mematuhi saranan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan pada PRN akan datang, ia memberi mesej jelas bahawa Kerajaan perlu segera menggubal akta yang menyekat budaya memainkan sensitiviti kaum dan agama ini. Jika undang-undang sedemikian tidak dikuatkuasakan, ketegangan agama dan perkauman akan terus berlarutan lantas merobek keharmonian sosial yang kita nikmati selama ini.


Sejauh manakah PH dan BN berjaya mengikuti penguasaan kempen digital terutama TikTok oleh PN?


BN dan PH agak ketinggalan berbanding PN. Bahkan, populariti PN di TikTok sedikit sebanyak menyumbang kepada kejayaannya dalam PRU15 lalu. Ini menunjukkan bahawa BN dan PH perlu berkerja keras dalam memikat hati pengundi di platform tersebut, khususnya generasi muda.


Hampir semua ahli politik sudah mula kelihatan aktif di TikTok. Namun, apa yang membezakan satu calon berbanding calon yang lain adalah aspek kreativiti dan trendiness. Parti memerlukan strategi kreatif untuk mendekati pengundi dan menyebarkan kempen serta menerangkan intipati manifesto dengan cara yang menarik dan mudah difahami. Ahli politik juga perlu bijak mengemukakan data dan fakta yang sahih untuk meyakinkan rakyat sekaligus menepis sebarang fitnah oleh lawan.

Dalam PRU, poster boy biasanya dipilih daripada pemimpin utama parti yang ada faktor wow untuk tarik undi, bagaimana pula dengan PRN sedangkan penyandang jawatan MB itu sendiri belum tentu bertanding di DUN, bahkan PN di Selangor pun tidak meletakkan calon tertentu?


Berbeza dengan PRU, PRN kali ini tidak bergantung kepada ‘wow factor’ yang ditonjolkan melalui ‘poster boy’ yang kebiasaannya menjadi daya tarikan para pengundi. PRN menjadi medan ujian kepada keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan kewibawaan parti politik dan dasar yang ditawarkan secara keseluruhan.


Ia juga menggalakkan trend pengundian yang lebih rasional, iaitu berdasarkan polisi yang ditawarkan oleh setiap parti politik. Jika parti parti politik berkeputusan untuk tidak mewujudkan ‘poster boy’, ia menunjukkan amalan demokrasi semakin matang.


Sudah tiba masanya untuk Malaysia bergerak ke arah amalan perbincangan dan perdebatan dasar pembangunan negara, tanpa perlu bergantung kepada aura pesona politik yang lapuk.


Apakah strategi terakhir yang mungkin digunakan BN atau PH untuk meyakinkan ahli dan penyokong masing-masing untuk mengundi dengan melupakan persengketaan lama?


Tiada apa-apa langkah drastik yang wajar dibuat oleh BN atau PH supaya penyokong masing-masing menerima penubuhan Kerajaan Perpaduan pada PRU lalu, melainkan terus meyakinkan mereka dengan pelbagai cara bahawa penyertaan kerajaan ini adalah keputusan paling ampuh untuk membawa Malaysia keluar daripada kebuntuan politik waktu itu.


Hala tuju negara berasaskan tadbir urus baik, rencana pertumbuhan ekonomi progresif dan agenda reformasi institusi yang selari antara BN dan PH membolehkan kedua-dua gabungan ini berkerjasama dengan baik dalam Kerajaan Perpaduan. Kerajaan hari ini juga bersifat lebih inklusif dengan penglibatan aktif Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, yang secara langsung mewakili suara masyarakat Malaysia yang majmuk.


Kerajaan Perpaduan telahpun mengambil pendekatan berhati-hati dalam semua aspek, termasuk keputusan dasar dan pembabitan dengan pengundi dan perkhidmatan awam. Ini mengurangkan kemungkinan pembangkang untuk mencetus kebimbangan akar umbi terhadap isu perkauman dan agama yang memecahbelahkan. Prestasi yang baik oleh pemimpin PH dan BN di blok Kerajaan juga menjadi kunci utama kepada keyakinan pengundi terhadap kedua-dua parti ini.


Dengan isu nilai ringgit makin jatuh dan pasaran saham lemah yang pastinya akan dijadikan modal menyerang PH-BN, apakah strategi berkesan gabungan itu berhadapan dengan peluru itu?


Keputusan kerajaan untuk tidak campur tangan segera dalam krisis kejatuhan pasaran modal dan ringgit ketika ini adalah langkah yang bernas. Naik turun nilai ringgit dan pasaran saham sebenarnya adalah fenomena jangka pendek, dan Kerajayaan sememangnya harus mengekalkan fokus terhadap strategi jangka panjang yang lebih mampan untuk produktiviti ekonomi negara.


Strategi yang boleh dilakukan adalah menerangkan kewajaran langkah ini dan implikasi buruk yang akan berlaku jika Kerajaan bertindak untuk campur tangan dan menambat ringgit. Mesej ini perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami rakyat, supaya rakyat faham bahawa usaha meningkatkan pendapatan dan pertumbuhan produktiviti, daya tahan ekonomi dan kewangan, serta daya saing keseluruhan adalah antidot terbaik bagi mengatasi masalah kelemahan mata wang.

  • Sesi Soal Jawab secara bertulis ini telah diterbitkan dalam akhbar BH Ahad pada 25 Jun 2023.


19 views0 comments
Post: Blog2_Post
bottom of page