top of page
  • Writer's pictureBait Al-Amanah

Ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad pada UNGA ke-73

Bait Al Amanah berasa bangga dengan Tun Dr Mahathir Bin Mohamad atas ucapannya dalam Perbahasan Umum Sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tun Dr Mahathir yang membawa suara rakyat Malaysia telah menonjolkan isu-isu penting seperti kegawatan ekonomi, sosial dan politik di dunia kita hari ini, konflik Israel-Palestin, pendirian Malaysia terhadap keganasan, nasib umat Islam di negeri Rakhine, ketidakseimbangan perdagangan bebas terhadap negara-negara kecil dan keperluan reformasi di PBB. Di samping menjadi pembela cita-cita dunia membangun, Tun Dr Mahathir telah memartabatkan imej negara Malaysia di pentas antarabangsa dengan menegaskan bahawa “Malaysia baharu akan mempertahankan prinsip-prinsip keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang.” Teks penuh ucapan beliau dilampirkan di bawah:

Puan Presiden,

Saya ingin menyertai mereka yang lain untuk mengucapkan tahniah kepada anda atas pelantikan anda sebagai Presiden sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ketujuh Puluh Tiga (ke-73) (UNGA).

Saya yakin dengan kebijaksanaan dan pengalaman luas anda, sesi ini akan mencapai objektif-objektif temanya pada sesi kali ini. Saya memberi jaminan bahawa Malaysia memberi sokongan dan kerjasama penuh ke arah pencapaian matlamat yang mulia tersebut.

Izinkan saya untuk memberi menghormatan kepada Presiden terdahulu Tuan Yang Terutama Miroslav Lajcak, atas dedikasi dan kepimpinan beliau dalam menyelesaikan kerja-kerja pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-72.

Saya memuji Setiausaha Agung dan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atas usaha mereka yang tidak mengenal lelah dalam memandu dan menguruskan aktiviti PBB di seluruh dunia.

Khasnya kepada mendiang Kofi Annan, Setiausaha Agung Ketujuh PBB dari 1997 – 2006, yang dengan dukacitanya meningal dunia pada bulan Ogos tahun ini. Malaysia telah mempamekan penglibatan yang kuat dan aktif semasa tempoh perkhidmatan beliau.

Puan Presiden,

Tema bagi Perhimpunan Agung ke-73 ini “Menjadikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Relevan Kepada Semua: Kepemimpinan Global dan Perkongsian Tanggungjawab Untuk Masyarakat yang aman, Saksama dan Lestari” terus menjadi aspirasi kepada para bapa pengasas kita. Temanya sangat relevan dan kena pada masanya. Ia sangat penting dalam konteks Malaysia baharu. Kerajaan baharu Malaysia, yang baru-baru ini mendapat mandat yang kuat daripada rakyat, komited untuk memastikan setiap warga Malaysia mendapat bahagian yang sama daripada kekayaan dan kemakmuran negara.

Sebuah Malaysia yang baharu muncul selepas Pilhan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun ini. Rakyat Malaysia telah memutuskan untuk menukar kerajaan mereka yang telah memerintah selama 61 tahun, iaitu sejak kemerdekaan. Kami melakukan ini kerana kerajaan terdahulu mengamalkan politik kebencian, pemikiran sempit perkauman dan agama selain rasuah yang berleluasa. Proses perubahan itu telah dicapai secara demokratik, tanpa keganasan dan kehilangan nyawa.

Rakyat Malaysia mahukan Malaysia baharu yang mempertahankan prinsip-prinsip keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang. Mereka mahukan Malaysia yang bersahabat dengan semua dan tidak memusuhi sesiapa. Malaysia yang kekal berkecuali dan tidak memihak. Malaysia yang membenci peperangan dan keganasan. Mereka juga mahukan sebuah negara Malaysia yang berani menyatakan pandangannya terhadap apa yang benar dan apa yang salah, tanpa berasa takut atau memihak. Malaysia baharu yang pecaya kepada kerjasama berasaskan sikap saling menghormati demi keuntungan bersama. Malaysia baharu yang menawarkan perkongsian berasaskan ‘memakmurkan jiran-jiran’. Kami percaya kepada kebaikan untuk bekerjasama bahawa jiran yang makmur dan stabil akan menyumbang kembali kepada kemakmuran dan kestabilan kami.

Malaysia baharu ini menyokong prinsip-prinsip yang dianjurkan oleh PBB dalam keterlibatan antarabangsa kami. Ini termasuk prinsip kebenaran, hak-hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, kesaksamaan, kebertanggungjawaban dan akauntabiliti, selain kelestarian. Dalam konteks inilah kerajaan baharu Malaysia telah berikrar untuk meratifikasikan baki instrumen-instrumen teras PBB yang berkaitan dengan perlindungan hak-hak asasi manusia. Ia tidak mudah untuk dilaksanakan oleh kami memandangkan Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa. Kami akan meluangkan ruang dan masa untuk semua bersuara dan membuat keputusan secara bebas berlandaskan demokrasi.

Puan Presiden,

Kali terakhir saya berucap di sini ialah pada 2003, saya telah melahirkan kesedihan kerana dunia telah kehilangan arah. Saya sedih kerana hakikatnya negara-negara kecil terpaksa tunduk kepada kehendak yang berkuasa besar. Saya berhujah mengenai perlunya negara-negara membangun berusaha keras untuk melaksanakan reformasi, mempertingkatkan pembinaan keupayaan dan mempelbagaikan ekonomi. Kita mesti mampu mengekalkan hala tuju kita.

Tetapi hari ini, 15 tahun kemudian dunia tidak banyak berubah. Malah keadaan dunia hari ini jauh lebih buruk daripada 15 tahun lepas. Hari ini dunia dalam keadaan huru-hara daripada segi ekonomi, sosial dan politik.

Berlaku perang perdagangan antara dua kuasa ekonomi paling besar. Dan seluruh dunia terkena tempiasnya.

Daripada segi sosial pula, nilai-nilai baharu telah mengancam kestabilan negata-negara dan rakyatnya. Kebebasan telah membawa kepada penolakan konsep perkahwinan dan keluarga, pantang-larang moral, rasa hormat dan lain-lain lagi.

Tetapi huru-hara yang lebih buruk ialah dalam arena politik. Kita melihat aksi keganasan di mana-mana. Orang mengikat bom pada diri mereka dan membunuh diri di tempat-tempat keramaian. Trak-trak dipandu untuk merempuh orang ramai. Berlaku peperangan dan ada orang yang dipenggal kepala mereka dengan pisau pendek. Aksi keganasan ini ditayangkan ke seluruh dunia secara siaran langsung. Berduyun-duyun manusia menggadai nyawa untuk melarikan diri tetapi dinafikan daripada mendapat perlindungan suaka politik, dan terpaksa tidur di kawasan lapang dan akhirnya mati kesejukan. Beribu-ribu yang lain kebuluran dan berpuluh-puluh ribu lagi mati akibat wabak penyakit kolera.

Tiada sesiapa, tiada negara yang selamat. Pemeriksaan keselamatan menyusahkan mereka yang melakukan perjalanan. Tiada cecair dibenarkan dibawa ke dalam pesawat. Secikit kecurigaan akan membawa kepada penahanan dan soal siasat yang tidak menyenangkan.

Untuk melawan “pengganas” pelbagai langkah keselamatan dilaksanakan, pelbagai peranti dan peralatan digunakan. “Abang Besar” sentiasa memerhati. Tetapi aksi keganasan tetap juga berterusan.

Malaysia telah berlawan dengan penjahat dan pengganas untuk mencapai kemerdekaan dan telah mengalahkan mereka. Memang kami ada menggunakan kekuatan ketenteraan. Tetapi bersama-sama dengan itu dan yang lebih penting adalah kempen untuk memenangi hati dan minda rakyat.

Peperangan melawan pengganas pada masa ini tidak akan berakhir sehingga akar kepada permasalahan itu ditemui, dihapuskan dan hati dan minda rakyat dimenangi.

Apakah punca akar kepada masalah-masalah ini. Pada 1948, tanah air Palestin telah dirampas untuk membentuk negara Israel. Warga Palestin disembelih dan dipaksa meninggalkan tanah mereka. Ladang-ladang dan rumah-rumah mereka dirampas.

Mereka cuba berperang secara konvensional dengan bantuan jiran-jiran yang bersimpati. Rakan sekutu Israel telah memastikan bahawa cubaan mereka itu gagal. Lebih banyak tanah rakyat Palestin dirampas. Dan penempatan rakyat Israel dibina di atas lebih banyak tanah-tanah rakyat Palestin yang dirampas dan rakyat Palestin dihalang daripada memasuki kawasan-kawasan penempatan itu yang dibina di atas tanah-tanah mereka.

Penduduk Palestin pada mulanya cuba melawan dengan menggunakan lastik dan batu-batu. Mereka ditembak menggunakan peluru hidup dan ditangkap. Beribu-ribu dipenjarakan.

Kecewa dan marah ,tidak mampu melawan dalam peperangan konvensional, warga Palestin mengambil jalan kepada apa yang kita panggil keganasan.

Dunia tidak peduli pun apabila Israel mencabuli undang-undang antarabangsa, merampas kapal-kapal yang membawa ubat-ubatan, makanan dan bahan binaan di perairan antarabangsa. Penduduk Palestin cuba melancarkan roket-roket tetapi tidak memberi kesan dan tidak mencederakan sesiapa pun. Tetapi dibalas secara besar-besaran oleh Israel, dengan menghantar bom roket dan mengebom hospital-hospital, sekolah dan bangunan-bangunan lain, membunuh penduduk awam yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak sekolah dan pesakit-pesakit di hospital. Dan ramai lagi.

Dunia menghargai Israel dengan sengaja menimbulkan provokasi kepada Palestin dengan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Kemarahan dan kekecewaan rakyat Palestin dan pihak yang bersimpati telah membuatkan mereka menggunakan kaedah apa yang kita panggil keganasan. Tetapi penting bagi kita untuk menerima bahawa apa juga tindakan yang menimbulkan ketakutan kepada orang boleh dianggap sebagai tindakan keganasan. Dan negara-negara yang menggugurkan bom dan melancarkan roket yang mencedera dan membunuh manusia tidak berdosa juga menakutkan orang. Ini juga perbuatan-perbuatan keganasan.

Malaysia membenci keganasan. Kami akan memeranginya. Tetapi kami percaya bahawa satu-satunya cara untuk memerangi keganasan ialah dengan menghapuskan puncanya. Berilah rakyat Palestin pulang untuk menuntut kembali tanah-tanah mereka. Biarlah wujud negara Palestin. Biarlah wujud keadilan dan kedaulatan undang-undang. Dengan memerangi mereka tidak akan menamatkan keganasan. Juga tidak mungkin dapat menghapuskan keganasan.

Kita perlu mengingatkan diri kita bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, seperti juga Liga Bangsa-Bangsa sebelum ini, ditubuhkan dengan niat murni untuk mengakhiri peperangan antara negara-negara.

Peperangan adalah mengenai pembunuhan orang. Peperangan di zaman moden ini adalah mengenai pembunuhan orang secara beramai-ramai dan menghancurkan seluruh negara. Masyarakat bertamadun membenci perbuatan membunuh walau apa pun alasannya. Apabila seseorang itu mematikan orang, dia melakukan jenayah membunuh. Dan hukuman kepada pembunuh adalah hukuman mati.

Tetapi peperangan, sebagaimana kita sedia maklum, menggalakkan dan menghalalkan perbuatan membunuh. Malah pembunuhan itu dianggap mulia, dan para pembunuh itu dipanggil wira-wira. Mereka disematkan dengan pingat di dada mereka dan tugu-tugu dibina untuk memperingati mereka, dan nama mereka disebut-sebut dalam buku-buku sejarah.

Ada yang tidak kena dengan cara berfikir kita, dengan nilai-nilai kita apabila mematikan satu orang ia dianggap membunuh tetapi mematikan berjuta-juta orang anda menjadi wira. Dan sebahagian daripada kita masih percaya bahawa konflik antara negara-negara boleh diselesaikan dengan peperangan.

Dan sebab kita masih berfikiran begitu, maka kita harus bersiap-sedia untuk berperang. Peribahasa lama mengatakan “untuk mencapai perdamaian, perlu ada peperangan”. Dan kita akan selama-lamanya bersiap-sedia untuk berperang, mencipta lebih banyak senjata pemusnah. Kita kini mempunyai bom nuklear yang mampu memusnahkan seluruh bandar raya-bandaraya. Tetapi kita kini mengetahui bahawa radiasi yang terhasil daripada letupan-letupan ini bahkan boleh menjejaskan negara yang menggunakan bom tersebut. Peperangan nuklear akan menghancurkan dunia.

Ketakutan ini telah menyebabkan negara-negara Eropah dan Amerika Utara mempertahankan keamaan mereka selama lebih 70 tahun. Tetapi tidak bagi negara-negara lain. Peperangan di negara-negara lain itu boleh membantu ujian senjata baharu yang dicipta.

Dan mereka lalu menjualnya kepada negara-negara yang berperang. Dan kita melihat senjata-senjata ini digunakan dalam peperangan antara negara-negara yang lebih kecil. Ini bukan peperangan dunia tetapi kesan kemusnahannya tidak kurang buruknya. Beratus-ratus ribu orang telah terbunuh, seluruh negara diranapkan dan negara-negara menjadi muflis dek senjata-senjata baharu yang menakjubkan itu.

Tetapi peperangan memberikan dividen yang berbaloi kepada pengeluar dan pedagang senjata. Perniagaan senjata kini adalah perniagaan terbesar di dunia. Mereka tidak berasa malu untuk memperoleh untung yang besar daripada kematian dan kemusnahan yang disebabkan oleh mereka. Malah negara-negara yang dikatakan mencintai keamanan sering mempromosikan perniagaan yang memalukan ini.

Pada hari ini senjata berharga jutaan ringgit. Jet tempur berharga kira-kira 100 juta dolar. Dan penyelenggaraannya memerlukan berpuluh-puluh juta lagi. Tetapi negara-negara miskin dipujuk untuk membelinya walaupun mereka tidak mampu. Mereka diberitahu bahawa jiran-jiran mereka atau musuh mereka memilikinya. Jadi, adalah penting untuk mereka memilikinya juga.

Jadi, walaupun rakyat mereka kebuluran dan menderita kerana dinafikan daripada mendapat pelbagai kemudahan, namun peratusan besar daripada bajet mereka diperuntukkan untuk membeli persenjataan. Pembelinya mungkin tidak akan menggunakannya langsung tetapi itu tidak menjadi masalah kepada penjualnya.

Puan Presiden,

Di Myanmar, umat Islam di negeri Rakhine sedang dibunuh rumah-rumah mereka dibakar dan berjuta-juta pelarian dipaksa melarikan diri, mati lemas di lautan luas, tinggal dalam pondok-pondok yang dibina sendiri, tanpa air atau makanan, tanpa sistem pembuangan najis yang paling daif sekali pun. Namun, pihak berkuasa di Myanmar termasuk pemenang Hadiah Keamanan Nobel menafikan kejadian itu berlaku. Saya percaya kepada dasar tidak mencampuri urusan dalaman negara lain. Tetapi adakah dunia hanya akan memerhatikan pembunuhan dilakukan tanpa berbuat apa-apa? Negara-negara adalah merdeka. Tetapi adakah ini bermakna mereka mempunyai hak untuk membunuh rakyat mereka sendiri, disebabkan mereka merdeka?

Puan Presiden,

PERDAGANGAN

Sebaliknya, daripada segi perdagangan negara-negara tidak lagi merdeka. Perdagangan Bebas bermakna tiada perlindungan bagi industri baharu di negara-negara kecil. Mereka mesti menghapuskan sekatan tarif dan membuka negara mereka kepada lambakan produk-produk oleh mereka yang kaya dan sangat berkuasa. Namun, produk keluaran negara-negara miskin tertakluk kepada sekatan-sekatan yang diwujudkan dengan secara bijaksana agar mereka tidak boleh menembusi pasaran negara kaya. Minyak sawit Malaysia dilabel sebagai berbahaya kepada kesihatan dan ladang-ladang memusnahkan habitat haiwan-haiwan. Produk makanan yang dikeluarkan negara-negara kaya mendakwa kononya mereka bebas daripada minyak sawit. Sekarang minyak diesel berasaskan sawit dikecam kerana mereka memusnahkan hutan dara. Mereka yang prihatin ini terlupa bahawa pemboikotan mereka menafikan ratusan ribu orang daripada mendapat pekerjaan dan kehidupan yang selesa.

Kami di Malaysia mengambil berat soal alam sekitar. Kira-kira 48 peratus daripada negara kami masih kekal hutan dara. Bolehkah pengkritik-pengkritik kita membuat dakwaan serupa tentang negara mereka?

Puan Presiden,

Malaysia komited dengan pembangunan lestari. Kami telah mengambil langkah-langkah, misalnya menambah baik kaedah pengeluaran bagi memastikan pengeluaran minyak sawit kami adalah mapan. Menjelang Disember 2019, Standard Kelestarian Minyak Sawit Malaysia (MSPO) adalah sesuatu yang akan diwajibkan. Ini akan menjamin setiap titis minyak sawit yang dikeluarkan oleh Malaysia akan disahkan sebagai mapan menjelang 2020.

Puan Presiden,

Di seluruh dunia, kami perhatikan trend bahaya nasionalisme yang melihat ke dalam, mengenai kerajaan yang ingin menjadi poular, menarik diri daripada kerjasama antarabangsa, menutup pintu sempadan mereka kepada pergerakan bebas manusia, barangan dan perkhidmatan walaupun ketika mereka sedang bercakap mengenai dunia tanpa sempadan dan perdagangan bebas. Meskipun globalisasi telah memberi kita beberapa manfaat, namun impaknya terbukti mengancam kepada kedaulatan negara-negara kecil. Kita malah tidak boleh bercakap atau bergerak ke mana-mana tanpa suara dan pergerakan kita dirakamkan, dan kerapkali digunakan terhadap kita. Data mengenai setiap orang dirakam dan diperdagangkan oleh negara-negara yang berkuasa dan syarikat-syarikat mereka.

Malaysia menyambut baik usaha PBB untuk menghapuskan kemiskinan melindungi bumi kita dan buba memastikan bahawa setiap orang menikmati keamaan dan kemakmuran. Tetapi saya ingin merujuk kepada keperluan untuk melaksanakan reformasi dalam pertubuhan ini. Lima negara berdasaran kemenangan mereka lebih 70 tahun yang lalu, tidak boleh mendakwa bahawa mereka mempunhyai hak untuk menjadikan dunia sebagai tebusan mereka sepanjang masa. Mereka tidak boleh menunjukkan moral yang tinggi, mengajarkan demokrasi dan perubahan rejim di negara-negara di dunia sedangkan mereka menafikan demokrasi dalam pertubuhan ini.

Saya telah mencadangkan supaya kuasa veto tidak boleh dilaksanakan oleh hanya satu anggota tetap tetapi oleh sekurang-kurangnya dua kuasa besar disokong oleh tiga anggota bukan tetap Majlis Keselamatan. Perhimpunan Agung patut menyokong keputusan itu dengan majoriti mudah. Saya tidak mahu berbakap lebih panjang.

Saya mengakui bahawa dunia tanpa PBB akan mengalami kerosakan yang dahsyat. Kita memerlukan PBB, kita perlu mempertahankkannya dengan dana yang mencukupi. Tiada sesiapa yang boleh mengugut pertubuhan itu dengan tidak memberi dana.

Puan Presiden,

Selepas 15 tahun dan pada usia 93 tahun, saya kembali ke podium ini dengan tugas berat untuk membawa suara dan harapan Malaysia baharu ke pentas dunia. Rakyat Malaysia, yang berbangga dengan pencapaian demokratik mereka baru-baru ini, menaruh harapan tinggi bahawa di seantero dunia – kita akan melihat keamanan, kemajuan dan kemakmuran. Dalam hal ini, kami amat berharap PBB sudi mendengar rayuan kami.

Terima kasih, Puan Presiden.

*Ucapan ini telah ditranslasikan oleh Bernama dan Utusan Melayu

5 views0 comments
Post: Blog2_Post
bottom of page