top of page
  • Writer's pictureBait Al-Amanah

UCAPAN MB : MAJLIS HARI HIMPUNAN MUAFAKAT SAUDARA KITA PERINGKAT NEGERI JOHOR

MAJLIS HARI HIMPUNAN MUAFAKAT

SAUDARA KITA

PERINGKAT NEGERI JOHOR

2018M / 1439H

DI HOTEL MSUITES, JOHOR BAHRU

6 JANUARI 2018 (SABTU)

BERSAMAAN 18 RABIUL AKHIR 1439

Assalamualaikum Warrahmatullallahhi Wabarakatuh dan Salam Muafakat Johor.

Saudara pengacara majlis,

Alhamdulillah, marilah kita semua mengambil kesempatan ini untuk memperbanyak rasa syukur ke hadrat Allah SWT. Serta marilah kita mengucapkan sebanyak-banyak selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Semoga kita semua menjadi umat kebanggaan Baginda, insya-Allah.

Sesungguhnya saya amat gembira, kerana seawal tahun baharu 2018 ini, kita semua sudah berpeluang untuk berhimpun dan merapatkan persaudaraan sesama kita.

Perkara sebegini harus kita semua lakukan dengan lebih kerap. Kerana, ia bukan sahaja akan lebih merapat dan mengeratkan hubungan kita semua.

Tetapi, pada masa yang sama, ia akan membuka ruang dialog. Agar kita lebih saling memahami tentang keperluan satu sama lain.

Tanpa dialog, tanpa perjumpaan seperti ini, Kerajaan Negeri tidak akan dapat mengetahui dan memahami dengan baik apakah yang sebenarnya diperlukan oleh saudara-saudara kita.

Jadi, sekali lagi, terima kasih atas jemputan ini. Saya amat menghargainya.

Dan saya harap belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2018 kepada semua Saudara Kita di Johor.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dalam mana-mana usaha serta langkah intervensi yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri, terdapat dua prinsip utama yang kita pegang dan amalkan.

Pertama, keperluan. Kedua, keterangkuman.

Di bawah prinsip yang pertama, iaitu keperluan, kita akan senantiasa membuka ruang dan memberikan bantuan mengikut keperluan. Mana-mana segmen dalam masyarakat kita yang memerlukan akan kita dekati, akan kita santuni dan akan kita bantu dengan selayaknya.

Dasar kita bukan dasar yang populis. Yang memberi secara membuta tuli. Yang berbelanja tanpa berhemah. Atau sekadar melakukan sesuatu program dan dasar tanpa hala tuju yang jelas.

Di Johor, semua usaha serta inisiatif Kerajaan Negeri Johor, amat berfokus dan bersasar.

Ia tidak kita lakukan secara suka-suka. Kesemuanya dipimpin oleh keperluan yang jelas.

Kedua, prinsip keterangkuman.

Di Johor ini, demografi masyarakat kita adalah sangat majmuk. Masyarakat kita terdiri dari pelbagai kaum, pelbagai bangsa dan agama. Kesemuanya mempunyai kepentingan dan keperluan masing-masing.

Kita saling berbeza dan tidak hanya hadir dari satu latar belakang yang sama sahaja.

Namun, segala kepelbagaian dan kemajmukan ini bukan masalah, atau penghalang kepada usaha kita menjadikan Johor ini, negeri dan masyarakat yang terbaik.

Malah kemajmukan kita adalah kekuatan sebenar kita. Sebab itulah kita harus bersikap inklusif. Kerana kita sedar bahawa kita mesti memastikan yang setiap entiti, yang saling berlainan dan pelbagai ini, diberikan hak, peluang serta perlindungan yang sewajarnya.

Inilah yang kita dinamakan sebagai dasar yang terangkum. Tiada siapa terpinggir. Tiada siapa tertinggal, tiada siapa tersisih.

Maka kerana itu, sahabat-sahabat serta saudara-saudara Islam kita dari bangsa yang berlainan, turut mendapat perhatian yang besar oleh pihak Kerajaan Negeri.

Kerana kita percaya, tuan-tuan dan puan-puan semua adalah saudara kita. Bahagian dari ummah yang pelbagai. Yang bukan sahaja diikat oleh tali persaudaraan agama.

Namun, masing-masing mempunyai peranan dan sumbangan yang penting kepada Johor. Sumbangan dan peranan yang tidak boleh diabaikan. Tetapi mesti dirai dan dioptimumkan dengan sebaiknya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Adalah menjadi iltizam serta komitmen pentadbiran saya, untuk memastikan yang tidak akan ada mana-mana kelompok atau segmen dalam masyarakat di Johor yang akan terabai atau dipinggirkan.

Justeru, sempena Hari Himpunan Muafakat Saudara Kita Negeri Johor tahun 2018 ini, antara aspek yang akan kita berikan perhatian khusus kepada golongan saudara baru, adalah aspek kebajikan muaalaf..

Ia akan menjadi antara fokus besar kita pada tahun ini. Dan saya percaya ini adalah perkara yang betul dan penting yang mesti Kerajaan Negeri lakukan.

Sejak tahun 2013 hingga 2017, kita telah menyaksikan seramai 4,190 orang saudara baharu.

Ini bermakna, dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini, secara puratanya, kira-kira seramai 850 orang setahun telah kembali memeluk Islam.

Ini adalah satu perkembangan yang positif dan memberangsangkan.

Dan insyallah, Kerajaan negeri, akan melakukan apa sahaja dalam kemampuannya untuk memberikan perlindungan, sokongan dan pengiktirafan kepada gologan saudara baru Islam ini.

Perkara ini kita lakukan atas beberapa alasan yang jelas dan kukuh.

Pertama, kerana kami semua menghargai pengorbanan besar kalian. Meninggalkan agama dan kepercayaan terdahulu, demi Islam.

Bukanlah perkara mudah untuk beralih agama ini. Maka pengorbanan kalian semua sangat luar biasa. Maka menyantuni kalian itu, sangat wajar, sangat dituntut dan sangat dikehendaki.

Kedua, menyantuni golongan mualaf dan saudara baharu adalah satu tuntutan agama Islam.

Dalam surah At-Taubah ayat 60, Allah SWT berfirman yang bermaksud;

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. 

Berdasarkan ayat ini, saya yakin, apa yang kita lakukan hari ini adalah selari dan bertepatan dengan perintah dan seruan Islam dalam ayat ini.

Ketiga, sumber perbelanjaan kepada program serta intervensi kepada golongan mualaf adalah daripada hasil zakat dan dana Majlis Agama Islam Johor. Jadi, ini merupakan satu bentuk pengurusan dan perbelanjaan sumber yang betul dan bertepatan dengan fungsi Majlis Agama Islam sendiri.

Kita mahu masyarakat berupaya untuk melihat dengan jelas bagaimana kita mengurus dan membelanjakan hasil zakat dan kewangan yang berkaitan dengan agama Islam dengan baik dan telus.

Biar masyarakat tahu dan sedar bahawa segala hasil zakat dan sumber kewangan yang berkaitan dengan Islam dibelanjakan untuk manfaat pelbagai golongan yang layak dan memerlukan.

Secara tidak langsung, usaha menyantuni golongan mualaf ini dapat menjadi kayu ukur kepada keprihatinan dan kecekapan institusi-institusi yang bertujuan untuk membantu dan melindungi umat Islam di Johor. Seperti Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Keempat, menyantuni dan melindungi golongan mualaf akan memberikan imej yang baik kepada masyarakat Islam dan agama Islam itu sendiri.

Lebih-lebih lagi Islam itu sendiri merupakan agama yang sangat bertolak ansur, yang sangat prihatin, penyayang dan terbuka.

Islam itu rahmat kepada seluruh alam.

Islam ini bukan agama yang keras. Ia adalah agama yang menyeru umatnya berlumba-lumba melakukan kebaikan dan amal kebajikan.

Yang kelima dan terakhir, menyantuni golongan mualaf adalah selari dengan aspirasi Johor Islami.

Pada kita di Johor, negeri yang Islami itu bukanlah negeri yang melihat Islam secara sempit. Islam yang hanya didefinisikan dari lensa politik dan konteks perundangan.

Johor Islami itu jauh lebih besar cakupan dan pemahamannya. Bukan setakat berkisar tentang pengenalan atau pelaksanaan Islam melalui instrumen undang-undang.

Sebaliknya, Johor Islami merujuk kepada usaha-usaha untuk menterjemahkan prinsip dan saranan Islam dalam pelbagai agenda pembangunan serta ikhtiar menyejahterakan masyarakat.

Yang penting kepada kita ialah persekitaran yang menjurus kepada amal kebaikan dan kebajikan.

Persekitaran yang menggalakkan orang Islam berlumba-lumba melakukan amal soleh.

Persekitaran yang menjelmakan Islam sebagai satu cara hidup.

Maka, berdasarkan kelima-lima alasan kukuh ini, saya suka untuk mengumumkan pengenalan Skim Bantuan Bulanan Mualaf Negeri Johor yang telah saya nyatakan dalam Bajet 2018 yang dibentangkan pada bulan lepas.

Pada tahun 2018 ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta dana kepada Skim Bantuan Bulanan Mualaf Negeri Johor. Skim ini akan memanfaatkan 3 kategori penerima yang terdiri daripada 1 ribu orang mualaf yang masih dalam tempoh 2 tahun pertama pengislamannya.

Jumlah bantuan bulanan yang telah kita persetujui akan diberikan mengikut kategori serta status seseorang mualaf. Ia adalah seperti berikut:

a) RM200 kepada mualaf yang berstatus bujang;

b) RM300 kepada mualaf yang merupakan ketua keluarga dengan tanggungan sehingga 5 orang; dan

c) RM400 kepada mualaf yang merupakan ketua keluarga dengan tanggungan melebihi 5 orang.

Melalui pengenalan skim khas ini, ia menjadikan negeri Johor sebagai negeri yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 skim bantuan khusus dalam membela kebajikan mualaf.

Sepanjang tempoh 5 tahun pentadbiran saya sahaja, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor telah memperuntukkan hampir RM84 juta dengan purata tahunan RM18 juta setahun kepada golongan mualaf.

Jadi, inisiatif yang kita umumkan pada hari ini sebenarnya satu lanjutan dan penambahbaikan kepada pelbagai inisiatif yang sudah kita laksanakan selama ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pada kesempatan ini, saya juga secara peribadi mempunyai beberapa mesej dan permintaan kepada saudara-saudara kita dari golongan mualaf di Johor. Khususnya dalam bersama-sama menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan negeri Johor.

Pertama, sentiasalah membantu saya dan Kerajaan Negeri untuk menjadikan negeri ini dan masyarakatnya, dalam kalangan yang terbaik.

Beritahulah kita, apa lagi yang perlu dilakukan agar lebih ramai anggota masyarakat kita akan dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan sejahtera. Kehidupan yang adil dan bermutu.

Kedua, marilah kita bersama-sama berusaha untuk menyumbang kepada perkembangan agama Islam dan negeri Johor. Dengan cara kita, kapasiti kita dan pemahaman kita.

Jangan hanya serah dan biarkan semua usaha murni ini dilakukan oleh pihak MAINJ atau Kerajaan Negeri semata-mata. Sebaliknya, kita semua bertanggungjawab dalam perkara sebegini.

Apabila kalian pulang nanti, lihatlah di sekeliling kita dan fikirkanlah akan cara dan jalan untuk kita mempersembahkan Islam dengan sebaiknya.

Saya percaya, dengan membantu mempersembahkan Islam dalam masyarakat kita, insya-Allah kehidupan serta urusan harian kita juga akan Allah SWT perelok dan permudahkan dengan cara yang tidak kita sangkakan.

Ketiga, saya harap saudara-saudara baru kita dari golongan mualaf akan senantiada bertabah dalam menempuh kehidupan sebagai seorang Mulslim.

Perjalanan kalian, pasti bukan mudah. Tetapi percayalah, bila anda telah menerima Islam, mengamalkan Islam itu juga pasti insyallah akan mudah.

Kerana Islam itu tidak menyusahkan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya amat harap yang segala ikhtiar kecil kita ini akan memberikan impak yang bermakna kepada semua saudara kita.

Semoga ia akan membantu semua saudara kita di Johor menjalani kehidupan dengan lebih berkualiti, selesa dan sejahtera.

Dengan lafaz yang mulia, bismillah hirrahman nirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Hari Himpunan Muafakat Saudara Kita Peringkat Negeri Johor bagi tahun 2018 bersamaan 1439 Hijriyyah.

Semoga usaha dan daya kita ini mendapat keberkatan dan diangkat oleh Allah SWT sebagai ibadah yang diterima oleh-Nya, insya-Allah.

Sekian, terima kasih.

18 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page