top of page
Writer's pictureBait Al-Amanah

Pelarian Juga Manusia

Updated: Jan 19, 2023

Ditulis oleh Simraatraj Kaur Dhillon dan Karisma Putera, Penganalisis Penyelidikan dan Advokasi Bait Al Amanah.


Sempena Hari Pelarian Sedunia yang lalu, kami ingin meraikan 182,960 individu yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.


Saban tahun, komuniti pelarian di Malaysia berdepan persepsi buruk masyarakat tempatan. Tanggal 20 Jun setiap tahun telah diiktiraf sebagai Hari Pelarian Sedunia untuk meraikan golongan pelarian di seluruh dunia. Ini adalah satu penghormatan di atas keberanian mereka meninggalkan negara halaman bagi menyelamatkan diri daripada konflik dan penindasan berterusan.


Hari Pelarian Sedunia berhasrat untuk membuka mata dunia tentang nasib malang yang dihadapi oleh komuniti ini. Ia juga bagi memugar rasa tanggungjawab untuk melindungi hak-hak asasi mereka seperti pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan kebebasan untuk bergerak.


Meskipun UNHCR dan badan bukan kerajaan tempatan bergiat aktif dalam memperjuangkan hak perlindungan komuniti pelarian, kedatangan mereka masih tidak diiktiraf oleh Malaysia sekaligus menafikan hak-hak asasi yang sewajarnya diterima. Isu ini berakar umbi daripada kekeliruan antara golongan pelarian dan pendatang tanpa izin (PATI) serta ketidakselarasan dasar kerajaan terhadap komuniti pelarian di Malaysia.


Melabelkan pelarian sebagai pendatang tanpa izin (PATI) telah menyebabkan mereka terhalang daripada menikmati perlindungan selayaknya dan terdedah kepada risiko keselamatan yang serius setiap hari. Sudah tiba masanya untuk Malaysia mengiktiraf keberanian pelarian di negara ini dan mula menerima kedatangan mereka dengan aman. Kita mesti bergerak ke arah masyarakat yang lebih inklusif dengan meraikan kisah, sejarah, budaya, bahasa dan kehidupan golongan pelarian.


Menerima, melindungi dan memperkasakan pelarian adalah formula ‘menang-menang’ buat pelarian dan negara Malaysia sendiri. Dengan memberikan mereka hak untuk bekerja, kesihatan, dan pendidikan, pelarian mampu berintegrasi ke dalam sektor buruh dan berpotensi menjadi ahli masyarakat Malaysia yang produktif, sekaligus menyelesaikan permasalahan sosial seperti yang dikhuatiri berlaku dalam kalangan pelarian. Lebih penting, penerimaan komuniti pelarian untuk menumpang teduh di negara ini adalah sebuah usaha mulia kerana kita melindungi hak terpenting dan paling berharga: hak untuk hidup.


Melangkah ke hadapan, kerajaan perlu komited dalam membangunkan strategi membina masyarakat yang lebih inklusif dan harmoni di samping meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang isu pelarian di Malaysia.


Membutakan mata terhadap keperluan komuniti pelarian adalah pelanggaran hak asasi manusia. Mereka berhak menerima layanan yang baik dan bermaruah, selayaknya seperti manusia biasa. Malaysia yang terkenal dengan keharmonian dan amalan budi pekerti ini seharusnya menyantuni komuniti pelarian dan membantu mereka dalam membina kehidupan yang lebih baik.


13 views0 comments

Comentários


Post: Blog2_Post
bottom of page