*Kredit Gambar: Unsplash
Kami selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, mengikuti dengan rapat ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos 2021 tentang rangka kesefahaman merentas parti dengan beberapa cadangan pembaharuan, termasuk beberapa langkah untuk menambahbaikkan Parlimen sekiranya usul undi percaya terhadap beliau diluluskan dan laporan berita bahawa beliau akan meletak jawatan.
Kami menyambut baik berita bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletakkan jawatan, sejajar dengan Perkara 43(4), Perlembagaan Persekutuan dan sekali gus akan mengelakkan krisis politik yang dihadapi oleh negara untuk sementara waktu.
Namun, kami berpandangan bahawa krisis politik yang dihadapi oleh negara sebelum peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah disebabkan beberapa kelemahan dalam sistem demokrasi berparlimen yang sedia ada. Krisis politik dalam negara pada masa kini boleh dielakkan dan diuruskan dengan lebih baik dan berkesan pada masa depan jikalau beberapa penambahbaikan sistem parlimen dilaksanakan.
Apa yang ditawarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan dengan penambahbaikan Parlimen, iaitu menghadkan tempoh perdana menteri kepada dua penggal, menambahkan bilangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dengan setengahnya dipengerusi oleh ahli parlimen pembangkang menggubal undang-undang anti-lompat parti, melibatkan ahli-ahli parlimen pembangkang dalam rundingan rang undang-undang dan belanjawan sebelum pembentangan dan mengiktiraf Ketua Pembangkang Parlimen dengan status menteri adalah antara langkah-langkah yang sudah lama dicadangkan oleh masyarakat madani tetapi sebenarnya masih tidak mencukupi untuk membenarkan Parlimen berfungsi dengan bebas dan berkesan sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap pihak eksekutif.
Justeru, kami mengesa parti-parti politik dan Kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk memberi jaminan kepada rakyat bahawa langkah-langkah penambahbaikan Parlimen, selain daripada apa yang ditawarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dilaksanakan, juga merangkumi langkah-langkah utama dibawah
Pertama, bagi mengelakkan krisis politik yang kita alami di mana sokongan majoriti Perdana Menteri tidak dapat ditentukan secara telus dan berkesan berlaku lagi di masa depan, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat perlu dipinda dengan segera supaya keutamaan harus diberikan kepada undi percaya atau undi tidak percaya sekiranya timbul keperluan tersebut dan urusan kerajaan tidak harus menjadi penghalang. Pindaan peraturan mesyuarat ini amat penting agar Perdana Menteri atau Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa depan tidak lagi boleh menyekat undi tidak percaya yang ingin diusulkan oleh ahli Dewan Rakyat, sekaligus memperkasakan Dewan Rakyat sebagai mekanisme semak dan imbang kepada kuasa Eksekutif dengan lebih berkesan.
Kedua, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat juga perlu dipinda untuk mengurangkan kuasa Perdana Menteri dan memberikan lebih kuasa dan ruang kepada Dewan secara keseluruhanya, Ketua Pembangkang Parlimen, Ahli Parlimen backbencher dan orang awam untuk menentukan agenda dan urusan Parlimen, seperti rundingan agenda dengan Ketua Pembangkang Parlimen oleh Kerajaan, ruang untuk rang undang-undang persendirian, hari backbencher, petisyen orang awam kepada Parlimen dan lain-lain.
Ketiga, Akta Perkhidmatan Parlimen bagi membebaskan Parlimen daripada cengkaman Eksekutif perlu digubal semula secepatnya supaya Parlimen mempunyai autonomi dari segi kewangan, sumber manusia dan pentadbiran.
Keempat, satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Pembaharuan Parlimen perlu dibentuk agar perjalanan untuk menambahbaikan peranan dan fungsi parlimen dapat dibincangkan dan cadangan-cadangan dapat dilaporkan kepada Dewan untuk keputusan dan pelaksanaan. Jawatankuasa ini juga perlu menyelia pelaksanaan cadangan-cadangan penambahbaikan proses Parlimen.
Kelima, pelaksanaan langkah-langkah penambahbaikan di atas memerlukan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mempunyai iktizam yang teguh terhadap reformasi Parlimen dan dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan bebas, berintegriti dan menegakkan kebebasan institusi Parlimen dengan lebih baik daripada sekarang.
Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.
Ditandatangani oleh:
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
ENGAGE
Persatuan Pengundi Muda (Undi18)
Bait al-Amanah
Comments