top of page
Writer's pictureBait Al-Amanah

Negara yang Banjir, Kerajaan yang Lemas

Oleh Mohd Daud Mat Din, Pengarah Penyelidikan Bait Al-Amanah

Sudah masuk hari kelima banjir besar melanda negara. Selangor dan Pahang terjejas teruk. Ada kawasan seperti Shah Alam, Hulu Langat dan Mentakab sampai diisytiharkan lumpuh. Beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Melaka turut dalam keadaan yang serius. Malah kini, amaran awal telah dikeluarkan bahawa wilayah utara akan berdepan dengan cabaran yang sama.

Setakat ini, angka korban sudah mencecah 25 orang dengan kira-kira 60 ribu mangsa terpaksa dipindahkan. Masih terlalu ramai yang terperangkap dan sedang menunggu bantuan.

Dalam keadaan genting seperti ini, semangat masyarakat umum sangat membanggakan. Ratusan NGO dan ribuan orang persendirian meninggalkan segala urusan lain dan bersama-sama memberikan fokus, bantuan serta tenaga untuk membantu mereka yang terkesan.

Itu tidak pelik. Kita sudah faham dan jelas. Masyarakat kita sememangnya sarat dengan nilai ihsan dan kemanusiaan.

Yang menjadi persoalan dan pertikaian, mengapakah penyelarasan, pengurusan serta pergerakan bantuan dan misi mencari dan menyelamat dari pihak kerajaan berjalan begitu lembap? Untuk menjadi adil kepada pihak Kerajaan, adakah mereka sebenarnya telah melakukan yang terbaik dan rakyat sebenarnya yang terlebih emosional? Sehinggakan trending di semua media sosial #DoNotDonate yang menyeru semua pihak untuk tidak memberi sumbangan melalui agensi-agensi kerajaan.

Terdapat beberapa perkara yang boleh dinilai untuk berlaku adil pada kedua-dua belah pihak.

NADMA

YB Latif Ahmad selaku menteri Tugas-Tugas Khas, di bawah Jabatan Perdana Menteri bukan pemimpin baharu. Beliau adalah ahli politik veteran. Sudah terlalu lama berpolitik dan mengaruk kuasa. Pernah juga menjawat pelbagai jawatan di peringkat persekutuan. Malah, kemarahan serta ketidakpuasan hati masyarakat terhadap beliau bukanlah isu baharu kepadanya. Sebelum ini, beliau sudah sering dikecam teruk.

Pertama, apabila beliau melompat parti dan menyertai Bersatu pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk memastikan beliau dipertimbangkan dalam mana-mana jawatan. Perkara ini sudah cukup menjelaskan prinsipnya yang mahu dikenali sebagai pemimpin.

Kedua, agensi-agensi lain di bawah kelolaan beliau turut sering mengundang pertikaian. Misalnya pelantikan Saudara Mohd Muzzammil Ismail dari kepimpinan Armada Bersatu sebagai CEO Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera. Sekali pun sangat kontang dengan pengalaman dan dianggap tidak layak, lantikan politik tersebut (yang dibuat selepas saudara Muzzammil tular kerana menulis surat meminta-minta jawatan ke dalam GLC) tetap dipertahankan.

Jadi, adalah tidak pelik kalau hari ini Latif Ahmad kelihatan sangat tidak memahami tugas dan peranannya dalam menguruskan Nadma dan membuat pelbagai kenyataan yang menguji kesabaran orang awam. Tidak logik sebuah agensi yang tugasnya menguruskan bencana membuat kenyataan seperti, kos yang terlalu mahal, bukan tugas rasmi mereka dan pelbagai lagi. Satu-satunya fungsi agensi khusus ini adalah menguruskan bencana. Maka, uruskanlah dengan penuh ihsan dan kemanusiaan, kecekapan dan keberkesanan. Bukannya dengan seribu alasan dan penafian.

Kita jangan terlalu pelik dan terkejut jika beliau akan terus sahaja dikekalkan dalam Kabinet PM Ismail Sabri sekali pun dengan segala kelemahan, kritikan serta ketidakupayaan beliau untuk berkhidmat kepada rakyat.

Pasukan keselamatan

Adalah sangat memeranjatkan apabila dilaporkan sesetengah anggota keselamatan negara seperti ATM dan bomba sehingga terpaksa bertindak sendirian tanpa menunggu arahan pihak atasan. Mereka bukan sahaja melanggar protokol, namun mengambil risiko pekerjaan dan kedudukan mereka sendiri dalam perkhidmatan awam semata-mata kerana mahu membantu orang awam yang terdesak.

Perkara ini menunjukkan dua kelemahan besar kerajaan. Pertama, ketiadaan sense of urgency di pihak Kerajaan yang bertanggungjawab kepada pentadbiran/ kepimpinan unit-unit beruniform tersebut. Kerajaan tidak melihat apa yang sedang berlaku sebagai serius dan memerlukan tindakan segara.

Kedua, ketiadaan pelan dan penyelarasan yang bersepadu antara pelbagai agensi dan kementerian. Kesemuanya kelihatan kelam kabut. Ini bermakna, tidak ada satu command centre di peringkat pusat yang menyelaras semua operasi. Itu belum lagi kita bercakap tentang pertembungan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Sedangkan, mangsa semakin ramai, banyak kawasan kekal terjejas.

Pelancong bencana

Yang paling memualkan adalah kedatangan VVIP dan VIP ke kawasan banjir sebagai pelancong bencana. Mereka hadir dengan wajah separa suram bersama percubaan gagal untuk mempamerkan keseriusan dan keprihatinan. Namun, pelbagai sumber kerajaan dan segerombolan tenaga manusia terpaksa dibazirkan untuk memastikan keselamatan dan kelancaran ketibaan mereka ke pusat bencana.

Sebagai pelancong bencana, mereka sepatutnya sedar bahawa kedatangan mereka tidak akan membantu pun memudahkan urusan, malah menyusahkan.

Mangsa tidak perlu semua itu. Jika benar pemimpin dan golongan VVIP ini prihatin, gunakan segala kuasa dan kedudukan mereka untuk memastikan bantuan dan pengurusan banjir berjalan dengan lancar. Bukannya mereka secara fizikal hadir demi sesi bergambar terancang. Berhentilah menangguk di air (banjir) yang keruh.

Semakan pelan pembangunan

Banjir adalah satu bencana alam. Tidak ada pihak yang menafikannya. Namun, perancangan pembangunan kita perlu disemak semula. Penebangan hutan dan pembalakan besar-besaran. Pembangunan yang terlalu sesak di kawasan-kawasan rentan banjir mesti dihentikan.

Adalah tidak keterlaluan untuk kerajaan menubuhkan satu pasukan khas selepas ini bagi meneliti kesemua kawasan yang terlibat dengan banjir kali ini dan menyiasat, bagaimanakah pembangunan di kawasan-kawasan tersebut dilakukan. Mengapa sesetengah projek pembangunan oleh sang pemaju kapitalis yang tidak selamat dan tidak lestari boleh dengan mudah mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan? Malah, ada yang dibangunkan dengan jumlah yang terlalu padat di kawasan yang sepatutnya menjadi tempat tadahan / penampan air?

Kesemua ini adalah isu membarah yang mesti diuruskan secara serius dan menyeluruh.

Hujan masih turun. Banjir menenggelamkan banyak kawasan. Namun jelas, kerajaan yang sedang kelemasan.

Semoga semuanya akan pulih dengan segera.

* Artikel ini yang ditulis oleh Mohd Daud Mat Din (Pengarah Penyelidikan Bait Al-Amanah)  telah diterbitkan dalam The Malaysian Insight

10 views0 comments

Yorumlar


Post: Blog2_Post
bottom of page