top of page
Writer's pictureBait Al-Amanah

Kuala Lumpur Summit 2019 pencetus wacana baharu dunia Islam

Dr Mahathir Mohamad dan Putrajaya memaparkan komitmen teguh Malaysia untuk kemajuan dan kepentingan Islam dengan penganjuran Kuala Lumpur Summit 2019.

Selama empat dekad, Dr Mahathir adalah tokoh yang bukan sahaja konsisten dalam pendiriannya terhadap segala isu berkaitan kepentingan Islam dan ummahnya, tetapi juga sangat lantang dan tegas.

Desakan Arab Saudi, UAE dan OIC, tidak sedikit pun menggugat pendirian Dr Mahathir dan Putrajaya untuk meneruskan persidangan tersebut. Apatah lagi semua kalangan negara Islam tahu bagaimana OIC tidak lebih dari sekadar menjadi jurucakap Riyadh, dan bukannya kepentingan Muslim sejagat.

Umat Islam, pertubuhan politik dan pergerakan madani di negara ini harus bersolidariti dengan Dr Mahathir dan Putrajaya dalam mempertahankan Kuala Lumpur Summit 2019. Malah membantu menjayakannya.

Kita tidak mempunyai alasan untuk mengetepikan usaha penting Dr Mahathir bagi merumuskan jalan baharu kepada masalah yang mendepani umat Islam.

*Sumber Gambar: Berita Harian

Terutamanya dalam keadaan sekarang yang menyaksikan banyak isu berkaitan umat Islam yang menuntut perhatian segera daripada kita semua.

Dasar luar Malaysia mesti kembali kepada asas kita yang tidak berpihak. Namun, ini tidak bermakna yang kita ini tidak berprinsip dan tidak boleh mengambil apa-apa pendirian.

Kita sudah tentunya menghargai persahabatan dengan Arab Saudi dan UAE. Tetapi Malaysia harus menjalin persahabatan yang baik dengan semua negara Islam lain. Persahabatan kita dengan dunia Islam tidak harus disempitkan hanya kepada Arab Saudi dan UEA.

Sudah pasti negara-negara Islam lain seperti Turki, Iran, Pakistan malah jiran kita Indonesia mampu menawarkan keunggulan tersendiri yang harus dimanfaatkan secara strategik.

*Sumber Gambar: Jabatan Perdana Menteri

Yang penting, kita mesti memilih untuk mengutamakan ummah, menjadi penengah, menghindari konflik dan menentang “sectarianism” yang didasari oleh asabiyah serta mentaliti berpuak-puak yang melampau.

Kita negara berdaulat dan kita telah lama mendahului negara Timur Tengah lain dari segi kemajuan, pembangunan dan modenisasi. Kita tidak boleh sekadar menjadi negara yang hanya mahu mencari imbuhan ekonomi. Tetapi tuli dengan isu yang mencengkam ummah.

Maka sudah selayaknya Malaysia mempelopori usaha global bagi mendepani kerencaman krisis yang melanda umat dan negara Islam di seluruh dunia. Lebih-lebih lagi apabila segala krisis kritikal tersebut tidak mendapat perhatian dan keprihatinan dari negara-negara Islam “utama” lain yang selama ini menjadi sahabat kita.

Adalah diharapkan KL Summit 2019 akan menyentuh dan berupaya memberi pencerahan yang sangat diperlukan oleh dunia Islam. Kemapanan dan kerjasama ekonomi, perkongsian strategik pertahanan, eksplorasi sains dan teknologi, pemantapan pendidikan dan budaya ilmu, pengecilan kesenjangan dan kualiti hidup serta penyuburan persefahaman politik adalah antara perkara yang mesti dibahaskan dengan terbuka dan objektif.

Kepada Dr Mahathir dan Putrajaya, Kuala Lumpur Summit 2019 adalah langkah perlu, penting dan strategik. Ada kekurangan dalam usaha ini. Ketiadaan pemimpin utama negara seperti Pakistan, Indonesia dan Bangladesh sudah tentu membangkitkan persoalan.

*Sumber Gambar: Jabatan Perdana Menteri

Malah boleh dijadikan alasan untuk menyimpulkan bahawa usaha ini gagal. Tetapi, bukan kesempurnaan yang kita cari. Usaha yang baik, biar sesukar mana pun, mesti dimulakan, dan disokong.

Semoga Kuala Lumpur Summit 2019 akan menjadi lonjakan dan titik mula “dekad kebangkitan” semula Islam. Kuala Lumpur Summit 2019, pencetus wacana baharu dunia Islam

* Dr Abdul Razak Ahmad ialah Pengarah Pengasas Bait al Amanah. Mohd Daud Mat Din ialah Pengarah Penyelidik Bait Al Amanah

2 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page