top of page
  • Writer's pictureBait Al-Amanah

Khaled Nordin Bentang Pelan 10 Tahun Pembangunan Johor

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Bin Nordin hari ini telah menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2018 di hadapan kira-kira 3,500 jemputan. Hadirin yang hadir terdiri daripada penjawat awam, wakil sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), ahli agama, atlet sukan, para aktivis sosial, ahli parlimen belia, wakil orang asli dan masyarakat FELDA serta para pengusaha sektor perkhidmatan seperti hotel, restoran dan sektor pengangkutan di Johor.

Majlis yang diadakan di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, Iskandar Puteri tersebut menyaksikan YAB Dato Khaled membentangkan secara lebih terperinci pelan dan hala tuju Johor untuk 10 tahun akan datang.

Agenda yang dikenali sebagai Dekad Baharu Johor tersebut, boleh dikatakan satu gagasan yang seumpamanya di Malaysia. Ini kerana, amat jarang untuk kita mendengar mana-mana pentadbiran di peringkat negeri membentangkan pelan 10 tahun pembangunan bagi sesebuah negeri.

Dekad Baharu Johor bakal menggarap falsafah Johor Berkemajuan, iaitu gagasan perubahan mentaliti dan sikap yang telah menjadi inti pati utama amanat beliau tahun lalu.

Amanat 2018 tersebut merangkumi beberapa perkara menarik yang dinyatakan secara jelas dan bermatlamat melalui 6 strategi utama. Antaranya, idea bahawa perubahan negeri Johor khususnya dari aspek ekonomi, mestilah dilakukan dengan melihat kepentingan melakukan persediaan untuk berhadapan dengan ekonomi masa hadapan.

Malah, pada masa yang sama, pembangunan bakat dan pemikiran akan digandakan. Selain usaha memastikan Johor kekal sebagai negeri yang Islami, berbudaya, lestari, selamat dan mempunyai kualiti kesejahteraan insan yang tinggi.

Kami melihat perkara ini sebagai sesuatu yang berani, progresif dan besar atas beberapa sebab.

Pertama, ia secara langsung menjawab pertanyaan dan kemusykilan kita selaku orang awam, tentang apakah pelan dan rancangan Kerajaan Negeri dalam mengemudi sesebuah negeri. Jadi, pelan ini sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa Johor sememangnya mempunyai pelan pembangunan jangka masa panjang yang jelas dan strategik.

Kedua, dengan membentangkan gagasan Dekad Baharu Johor ini, ia telah menyuntik keterujaan dan semangat baharu di kalangan masyarakat untuk terus menyumbang dan berbakti kepada negeri Johor.

Ketiga, Dekad Baharu Johor menyebabkan, fokus serta perhatian orang awam kini dapat diberikan kepada perkara yang sepatutnya. Iaitu untuk membangunkan Johor menjadi negeri terbaik.

Perkara ini sekali gus memudarkan segala tindakan pembangkang di Johor yang dilihat terlalu sarat dengan polemik politik dan cita-cita besar untuk menawan Johor. Tanpa mengemukakan sebarang alternatif atau tawaran pembangunan yang menarik kepada masyarakat umum.

Keempat, tindakan sedemikian juga dilihat menjadi satu kemuncak kepada segala agenda dan gagasan besar yang pernah digagaskan sebelum ini. Pastinya Dekad Baharu Johor akan dilihat sebagai hasil dan kesimpulan kepada semua usaha yang pernah dilakukan.

Kita harus akui, adakalanya, kita selaku orang awam sering tertanya-tanya bagaimana negeri Johor ini mampu mencapai kemajuan lebih sepuluh langkah ke hadapan berbanding negeri lain. Masyarakat sudah muak dan mangli mendengar seribu janji dari banyak pihak. Ada yang hadir dengan menabur pelbagai harapan untuk menjadikan Johor lebih baik. Malangnya tidak pun memberikan sebarang alternatif dan jawapan yang konkrit kepada status quo.

Dengan adanya amanat dan gagasan Dekad Baharu Johor ini, nampaknya tekanan kepada pembangkang Johor akan terus bertambah. Tidak mustahil perkara ini akan menjadi faktor yang menyumbang kepada penolakan yang lebih besar kepada mereka selepas ini.

Kerana, gagasan seperti Dekad Baharu Johor pastinya akan dilihat sebagai lonjakan dan titik tolak kepada kemajuan negeri Johor dalam merealisasikan pembangunan yang lebih pesat dan maju.

Lebih menarik, Amanat tersebut diakhiri dengan YAB Dato Khaled memberikan 5 pesanan kepada Team Johor, selaku pelaksana kepada gagasan besar ini. Betulkan niat, bangunkan negeri, bela negara, beri nilai dan bawa nama adalah satu rangkaian pesanan yang bakal menjadi pegangan dan prinsip Team Johor.

Sebagai masyarakat awam, kita tidak hanya boleh melihat perkara ini sebagai penonton di atas pagar semata-mata. Sebaliknya, sudah tiba masanya, kita harus sama-sama lebih aktif dan proaktif. Terutamanya dalam menggembleng tenaga dan kudrat begi menjayakan Dekad Baharu Johor.

4 views0 comments
Post: Blog2_Post
bottom of page