top of page
Writer's pictureBait Al-Amanah

Kenyataan Media: Semua Ahli Parlimen Patut Dibenarkan Hadir Sidang Parlimen

Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, terpanggil merespon kepada laporan media kenyataan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon terhadap cadangan Parlimen bahawa hanya 80 orang ahli Parlimen (MP) dibenarkan hadir ke Mesyuarat Khas Penggal Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 26 hingga 29 Julai ini dan seterusnya 2 Ogos nanti. Daripada 80 orang tersebut, dilaporkan juga bilangan MP kerajaan dan MP pembangkang masing-masing 44 dan 36 orang ahli.

1. Alasan sama seperti sidang Parlimen tahun lepas yang hanya membenarkan 80 MP sudah tidak lagi relevan memandangkan semua MP sudah divaksinkan, berbeza ketika sesi persidangan lepas. Lebih-lebih lagi dilaporkan hampir semua kakitangan Parlimen, termasuk staf yang mengiringi MP layak menerima suntikan awal vaksin yang mana sepenuhnya akan selesai menjelang persidangan hujung Julai ini. Maka dengan SOP yang ketat, semua MP sepatutnya tiada halangan untuk menghadiri persidangan Parlimen dengan jumlah penuh.

2. Memandangkan hampir tujuh bulan Parlimen tidak bersidang, pelbagai isu dan permasalahan rakyat di seluruh kawasan Parlimen seluruh negara terlalu banyak tertangguh serta tidak dapat dibahas dengan tuntas oleh wakilnya di Parlimen. Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020 sehinggalah ke fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini, ditambah pula dengan Proklamasi Darurat 2021 bersama Ordinan-ordinan yang diwartakan kerajaan, terus menemui jalan buntu menyelesaikan krisis pandemik COVID-19 dan ekonomi. Inilah masanya MP diberi ruang seluas-luasnya untuk membawa segala resah rakyat sekaligus sama-sama menawarkan solusi terbaik untuknya.

3. Sebagai langkah persediaan sekiranya keadaan pandemik terus menular, bertambah teruk atau pandemik yang lain pada masa yang akan datang, kerajaan patut mengambil contoh Parlimen negara-negara luar yang bersidang dengan aktif ketika pandemik dan bersedia meminda peraturan-peraturan mesyuarat untuk melaksanakan model persidangan Parlimen hibrid yang melibatkan kehadiran MP secara fizikal dan maya. Ahli-ahli parlimen diingatkan bahawa persediaan untuk persidangan hibrid atau maya tidak perlu menyekat kuasa ahli parlimen termasuk mengundi dan tidak harus ditakuti sebagai dalih untuk menundakan sidang parlimen yang akan datang. Keengganan untuk berfikir jauh dan menyediakan diri dan Parlimen untuk bersidang hibrid hanya akan menjahanamkan demokrasi jika varian baru Covid-19 menjadi lebih kuat dan menggagalkan penjarakan sosial sekarang.

Maka, Dewan Rakyat dan Dewan Negara seharusnya meluluskan Usul pada permulaan persidangan pada 26 Julai dan 3 Ogos untuk Jawatankuasa-Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing menyediakan pindaan peraturan-peraturan yang perlu untuk persidangan hibrid/maya dengan libaturus semua parti dan kemudiannya dibentangkan dan diluluskan oleh kedua-dua Dewan sebelum persidangan ini ditangguhkan pada 2 Ogos Dan 5 Ogos.

Kami sekali lagi ingin menegaskan semua MP yang dipilih rakyat adalah anggota barisan hadapan negara dan harapan rakyat yang mesti diberi peranan serta harus berperanan utama dalam situasi genting ini melawan tragedi pandemik ini.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Ditandatangani oleh: 1. Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih 2.0) 2. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) 3. ENGAGE 4. Bait Al Amanah

3 views0 comments

Commenti


Post: Blog2_Post
bottom of page