“Tan Sri Shahrir Abdul Samad, ikon politik yang berwibawa dan disegani. Perjuangannya, peribadinya dan khidmat baktinya adalah cerminan dan terjemahan sebenar penghayatan ideologi UMNO”
– Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor.
Bait Al-Amanah sememangnya bertuah kerana dipimpin oleh ikon politik yang begitu berwibawa dan disegani sebagai Pengerusi organisasi. Sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir mempunyai pengalaman yang amat luas dalam pentadbiran Kerajaan dan pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan. Di samping itu, Beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang bertanggungjawan mengaudit ketelusan badan-badan kerajaan. Justeru, tidak menghairankan apabila Tan Sri Shahrir dilantik sebagai Pengerusi FELDA untuk meneruskan usaha yang sedang dibuat bagi mensejahterakan lagi warga FELDA.
Semenjak mengambil alih jawatan ini, Beliau telah menjadi tumpuan ramai apabila terbongkarnya isu terbaru tanah FELDA di Jalan Semarak. Bagaimanapun Beliau telah memaklumkan bahawa FELDA telah mendapat kembali hak milik tanah itu tanpa melibatkan sebarang kos.
Wartawan theRakyat, Syahril A. Kadir semalam secara eksklusif menemui Shahrir di pejabatnya untuk menyelami perasaannya sekaligus untuk menjawab apa yang ‘bersarang’ di dalam hatinya selama menduduki ‘kerusi panas’ tersebut. (Artikel Temu Ramah ini dipetik daripada The Rakyat)
Ada pihak yang menyifatkan Tan Sri bagaikan ‘hero’ kerana berjaya mendapatkan kembali hak milik tanah Felda yang telah berpindah milik kepada SPSB itu. Pada masa yang sama, ada juga menganggap apa yang berlaku adalah satu ‘drama dan lakonan’ yang dirancang untuk memperlihatkan ‘kehebatan’ kerajaan Barisan Nasional. Sejauh mana betulnya dua pendapat ini?
SHAHRIR: Mengenai gelaran ‘hero’ tu sejujurnya saya tak merasakan ia begitu. Apa yang heronya? Ini bukan satu benda yang luar biasa. Kita hanya mengambil tindakan mengikut apa yang kita rasa betul berdasarkan nasihat daripada pelbagai pihak.
Dari awal-awal lagi sewaktu saya mengambil alih Felda, saya sudah bagitahu yang Felda dah tidak mendapat kepercayaan dari bank-bank kerana kita banyak hutang hingga terpaksa menjual saham. Ramai yang tak suka bila saya buat kenyataan itu tetapi bagi saya kita kena telus. Kita tak boleh sembunyi realiti yang berlaku pada Felda ketika itu atau sapu semuanya di bawah karpet
Kalau orang kata ini semua drama, tanah itu ditukar milik sebelum saya masuk ke sini lagi. Masa tu semua orang tak tahu mengenainya, lembaga pengarah sendiri pun tak tahu, apatah lagi saya. Saya pun tak tahu yang beberapa tahun selepas itu rupanya saya akan mengisi jawatan Pengerusi Felda ini, malah tak pernah terfikir pun. Kalau betul ini semua drama, wahhh…hebatlah saya.
Begitu juga bila Berita Harian membongkarkan kes ini, ada juga ramai yang tak suka tetapi bagi saya biarlah. Kita kena hormat pada kebebasan akhbar untuk melaporkan apa yang mereka mahu. Yang penting kita ada jawapan untuk kes yang mereka bongkarkan itu. Namun sebagai agensi kerajaan, kita kenalah rujuk pada kementerian atau jabatan yang mengawalselia kita. Dalam hal Felda ini, kita kenalah rujuk pada Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Pegawai undang-undang JPM pula tengok cadangan kita sebelum diangkat pula ke pejabat Peguam Negara. Semua proses itu berjalan dan bukannya kita pandai-pandai buat sendiri. Akhirnya mereka setuju untuk kita buat laporan polis bagi membolehkan kita membuat kaveat pendaftar untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan agensi ini.
Semuanya dilakukan dengan telus dan terbuka, kita buat secara yang terbaik. Kepentingan Felda takkan terlindung kalau tanah itu milik syarikat tersebut kerana kalau apa-apa terjadi pada syarikat itu, kita habis!
Bagaimana Tan Sri melihat penglibatan SPSB dalam hal ini?
SHAHRIR: Bagi saya penyerahan balik hak milik tanah itu mengesahkan pandangan kita yang mereka (SPSB) tak perlu pun pada tanah itu sebenarnya kerana dengan surat kuasa wakil (PA) saja, mereka dah dapat perintah pembangunan untuk mendirikan menara yang pertama dan mereka juga dah ada pajakan selama 20 tahun terhadap menara tersebut, jadi syarikat mereka dah stabil, mengapa perlu tukar milik tanah itu? Itu yang kita tertanya-tanya.
Bila kita dilihat bertegas untuk dapatkan balik tanah itu bagi melindungi kepentingan Felda dengan buat laporan polis, dapatkan kaveat pendaftar, mereka akhirnya tahu yang mereka dah tak boleh apa-apa dah. Mereka tahu mereka perlu berunding dengan kita dan mereka akhirnya sanggup serah balik sebab mereka sedar projek mereka itu dah OK, dah terselamat.
SPSB sedar selagi mereka tak serah, lagi bahaya projek mereka sebab dah ada penyiasatan polis, kita juga akan ambil tindakan untuk membatalkan PA. Apapun saya nak tegaskan di sini, polis akan terus menyiasat. Audit forensik akan terus dijalankan sebab kita nak tahu kerana ada perkara-perkara dalaman yang menimbulkan ‘tanda tanya’ dan ini mestilah disahkan oleh pihak yang ketiga iaitu firma audit yang dilantik untuk menyiasat dan membuat laporan. Selain firma audit itu, biarlah polis juga menyiasat dan buat laporan mengenainya. Kita tak akan campur tangan urusan mereka.
Lagi satu saya nak beritahu, SPSB tak terjejas. Kalau nak terjejas pun ia kerana perbuatan mereka sendiri, bukan siapa pun suruh, mereka yang pandai-pandai tukar tanah pada milik mereka, kesannya mereka kena tanggunglah.
Adakah Tan Sri secara peribadi sudah mengenal pasti dalang atau mana-mana individu yang membuatkan Felda berhadapan dengan pelbagai masalah seperti mana yang dilaporkan?
SHAHRIR: Biar saya tegaskan di sini, itu bukan skop tugasan saya. Tugas saya bukan untuk menyiasat dan menghukum orang, itu tugas agensi lain. Tetapi kalau semua pihak seperti JPM kita tak percaya, firma audit tu kita tak percaya, polis kita tak percaya, habis kita nak percaya pada siapa lagi?
Ramai yang beranggapan apa yang berlaku pada Felda akan menjejaskan sokongan masyarakat peneroka yang selama ini begitu kuat menyokong Barisan Nasional dalam setiap kali pilihan raya umum.
SHAHRIR: Pada saya apa yg telah dilakukan oleh Felda semenjak tahun lepas, kita menjadikan Felda lebih terbuka. Felda juga inklusif dengan dasar tranformasi luar bandar kerajaan. Sebagai contoh, dulu jalan-jalan Felda , Felda yang selenggara. Sekarang dah didaftarkan di bawah sistem MARRIS, jadi peruntukan penyelenggaraan jalan yang dimasukkan kepada jalan negeri, dilayakkan juga untuk dibelanjakan bagi kawasan-kawasan Felda.
Maknanya kita diterima sebagai sebahagian daripada negara, bukan lagi sebuah institusi yang terasing.
Kita juga buat gerakan muafakat bersama Felda. Masa saya ambil alih hanya 90,000 orang peneroka saja bersama Felda. Kita jelaskan, apa yang dimaksudkan ‘bersama Felda’ itu adalah mereka menjual hasil mereka melalui Felda walaupun mereka menguruskan sendiri kebun mereka.
Dulu kalau kebun mereka diuruskan oleh Felda dan FTP baru mereka dikatakan ‘bersama Felda’, sekarang tidak lagi. Asalkan dia jual hasil melalui Felda, maknanya dia ada akaun dengan Felda dan tetap dianggap ‘bersama Felda’
Daripada 90,000 peneroka yang dianggap ‘bersama felda’ , kini ia mula bertambah menjadi 103,000 orang, maknanya hanya lapan peratus peneroka yang tak bersama Felda. Ini bagi saya tanda sokongan dan keyakinan peneroka kepada Felda. Kalau dulu mereka tak yakin dan marah kepada Felda, hari ini keyakinan mereka dah kembali semula.
Maknanya sekarang dah 92 peratus peneroka dah bersama Felda. Sebab itu saya yakin mereka masih bersama Barisan Nasional. Ini kerana nampak mereka dah kembali balik kepada komuniti Felda, kalau dulu hanya 80 peratus bersama Felda, kini ia bertambah kepada angka yang saya sebutkan tadi. Walaupun kita tak boleh kata mereka ini akan memberi undi kepada kita tetapi jelas peneroka-peneroka ini dah tak marah pada kita dan dah ada keyakinan pada kita.
Pada tahun 2017 saja, kita dah bayar lebih RM580 juta pada peneroka. Kita bayar dalam bentuk insentif tunai, bagi duit raya, dividen FGV semua tu. Itu tak masuk apa yang dia dapat hasil kebun masing-masing.
Berbalik pada isu tanah ini, adakah ketegasan Perdana Menteri juga memberi tekanan kepada SPSB untuk menyerahkan kembali hak milik tanah berkenaan?
SHAHRIR: Selepas kita terima surat daripada JPM mengatakan bahawa Datuk Seri Najib bersetuju untuk tindakan-tindakan ini diambil iaitu dengan letak kaveat, buat laporan polis, Peguam Negara pula sedang usahakan untuk membatalkan PA dan sebagainya, ini menunjukkan yang beliau memang tegas mengenai isu ini. Perdana Menteri tak pernah arahkan saya supaya pergi ‘berunding senyap-senyap’ agar isu ini selesai, tidak sama sekali.
Tan Sri, yang pasti isu tanah ini akan melibatkan nama pegawai-pegawai tinggi terheret sekali, dan perkara tersebut turut diakui oleh Tan Sri dalam sidang media sebelum ini, bagaimana Tan Sri melihat perkara tersebut?
SHAHRIR: Sebab itulah kita serahkan isu ini kepada JPM kerana ia melibatkan pegawai-pegawai tinggi, sebab itu kita kena tanya pihak ketiga, pihak Peguam Negara. Ia melibatkan exco tanah, DBKL. Sebab itu jugalah Perdana Menteri melantik sebuah firma audit bebas. Kami di Felda tidak ada masalah mengenainya, nak masuk ke Felda, masuklah. Seperti yang saya tegaskan berulang kali, kita mengamalkan prinsip keterbukaan.
Di saat kita buat laporan polis dan daftar kaveat pun kita sedar yang ia akan mejadi pengetahuan umum. Risikonya orang akan mula memberi reaksi yang keras tetapi bagi saya inilah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini, tak ada ‘cover up’. Kita telus!
Adakah pencapaian Tan Sri sebagai Pengerusi Felda ini adalah pencapaian terbaik Tan Sri selama bergelar ahli politik?
SHAHRIR: Bagi saya benda ni normal. Dalam hidup kita ni kalau ada niat terselindung kita takkan berani buat secara terbuka. Saya percaya pada integriti dan keterbukaan. Saya buat apa yang sepatutnya saya buat. Telus dan terbuka.
Tohmahan? Itu hak masing-masing, masyarakat bebas beri pendapat tetapi mereka kena terima hakikat apa yang sebenarnya berlaku. Saya dah kata ini masalah terakhir bagi Felda. Saya tengok pegawai dan pengurusan, airmuka peneroka…semuanya nampak positif. Mereka tak lagi marah-marah, ceria. Mereka mula yakin pada lembaga pengarah dan saya selaku pengerusi.
Begitu juga dengan bank. Institusi kewangan dah mula yakin. Dulu nak beri pinjaman kepada kita dengan pelbagai syarat. Kini mereka dah mula minat untuk memberi pinjaman.
Saya gunakan mandat yang diberi kepada saya untuk mengatasi masalah dan membawa Felda ke depan. Kita tak boleh juga melihat Felda tanpa ia mengambil balik peranan sebagai peneraju tranformasi luar bandar. Itu kena datang dari peringkat rancangan, peringkat wilayah hinggalah ke peringkat atasan.
Apakah perubahan kepimpinan tertinggi Felda ini, seperti perlantikan Tan Sri ke kerusi pengerusi, mempengaruhi struktur pentadbiran dan organisasi dalam Felda?
SHAHRIR: Mungkin ada yang tak biasa dengan apa yang saya nak buat. Saya nak ubah cara kerja pegawai-pegawai kita yang hanya ambil tahu cara kerja di unit mereka semata-mata sedangkan kalau kita balik asal, dulu kita tak besar tapi kita tau berpakat. Sekarang ni dalam langkah ke depan, kita kena ada tranformasi dalam organisasi itu sendiri. Kita kena kerja sebagai satu jaringan, kita kena berpakat dan muafakat. Tak boleh kerja secara berahsia, kita kena telus.
Masa saya mula-mula datang ke Felda, seorang bekas pengarah besar bertanyakan pada saya berapa orang pegawai yang saya bawa, saya kata tiga orang saja, dia terkejut!
Saya percaya pegawai-pegawai yang sedia ada, saya percayakan kebolehan mereka. Saya hanya bagi panduan dan nasihat. Kita bukan nak tukar orang, kita cuma nak tukar minda dan sikap dia bekerja. Itu saja pun sudah cukup.
*(Artikel Temu Ramah ini dipetik daripada The Rakyat)
Comments