Pada 25 Mac 2020, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Tindakan ini adalah perlu bagi mengekang penularan wabak COVID-19, akan tetapi, tindakan ini akan memberi kesan mendalam terhadap keseimbangan ekonomi negara. Institute for Capital Market Research Malaysia (ICMR) menyatakan sekarang kita dilanda 2 masalah besar iaitu kesihatan dan ekonomi. Kedua-duanya terjejas teruk akibat COVID-19. Masalah ini dijangka akan berlarutan selama beberapa bulan sebelum ekonomi negara dapat dipulihkan sepenuhnya. Namun, jika wabak ini berterusan, kemungkinan untuk negara kita terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi adalah tinggi.
Menurut kajian Malaysian Institute of Economic Research (MIER), KDNK sebenar Malaysia mungkin mengecut sekitar 6.9% berbanding dengan 2020. Ini diterjemahkan kepada -2.9% pertumbuhan KDNK sebenar untuk 2020 berbanding 2019. MIER juga menjangka 2.4 juta orang akan hilang pekerjaan akibat COVID-19. 64% pekerja yang paling terjejas adalah pekerja kemahiran rendah. Seterusnya, pendapatan isirumah dijangka jatuh sebanyak 12% atau bersamaan RM 95 billion. Ini kerana, dalam tempoh PKP banyak syarikat ditutup, pekerja tidak dapat bekerja dan rakyat kehilangan sumber pendapatan. Manakala, perbelanjaan pengguna mencatatkan penurunan mendadak sebanyak 11% walaupun paras harga umum pengguna turun sebanyak 4.4%. Hal ini berlaku kerana rakyat mengambil sikap berjimat cermat sepanjang tempoh PKP. Jika mereka ada wang sekalipun, wang tersebut akan digunakan untuk membeli barang makanan dan kegunaan kesihatan dan kecemasan sahaja.
Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) juga mencadangkan supaya kerajaan membelanjakan sehingga RM 95 billion untuk mengurangkan impak ekonomi akibat COVID-19. RM 75 billion itu adalah tambahan kepada RM 20 billion daripada pakej rangsangan ekonomi yang akan PM umumkan tidak lama lagi. Kerajaan kena pastikan rakyat ada tunai supaya mereka dapat berbelanja. Bila mereka berbelanja, ekonomi akan bergerak dan keseimbangan ekonomi dapat dikekalkan. Peruntukan tersebut penting terutamanya untuk mengelak syarikat muflis, kehilangan pekerjaan serta kebajikan dan pendapatan isi rumah terjejas melalui sokongan perniagaan, memberi nafas baharu kepada PKS dan program jaringan keselamatan sosial. MIER menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan untuk mengembalikan GST dengan pelarasan yang sesuai kepada kadar dan liputannya serta mekanisme yang lebih baik dari segi kutipan dan rebat dalam Belanjawan 2021 yang akan datang.
Penasihat ekonomi kepada Tun M, Dr Muhammed Abdul Karim pula mencadangkan strategi ekonomi serampang tiga mata, iaitu memberi pendapatan kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang bekerja sendiri, membantu syarikat kecil dan sederhana untuk terus bertahan, dan memastikan bekalan makanan mencukupi. Data menunjukkan 9 daripada 10 rakyat Malaysia tidak mempunyai walaupun RM1,000 dalam simpanan. Jika rakyat tidak dibantu, mereka akan mengalami kesukaran untuk berbelanja dan lebih parah lagi jika ada rakyat yang terpaksa makan hanya sekali dalam sehari. Pada waktu kecemasan ini, kerajaan tidak boleh kedekut dengan rakyat. Kerajaan perlu menggunakan rizab negara dengan sebaiknya bagi membantu rakyat. Rakyat pula tidak boleh terlalu berjimat cermat. Rakyat perlu berbelanja supaya ekonomi dapat bergerak. Apabila rakyat berbelanja, pihak majikan akan mendapat keuntungan dan keuntungan tersebut akan digunakan untuk membayar gaji pekerja dan dapat membuka peluang pekerjaan baru kepada masyarakat.
Ekonomi global juga terkesan teruk akibat COVID-19. Pakar dan penganalisis menganggarkan AS$43.7 trillion rangsangan ekonomi diperlukan untuk memulihkan ekonomi dunia. Peranan dasar fiskal dan monetari menjadi amat strategik dalam mengharungi keadaan yang tidak stabil ini. Dasar monetari merupakan domain bank pusat manakala dasar fiskal kekal di bawah bidang kuasa kerajaan. Bloomberg melaporkan kerajaan China menghadapi tekanan fiskal terburuk sejak 2009. Pendapatan kerajaan pusat dan tempatan menguncup 9.9% dalam 2 bulan petama tahun ni berbanding tahun lalu. Iaitu kejatuhan paling teruk sejak Februari 2009. Pendapatan cukai pula merosot 11%. Harus ingat bahawa cukai adalah pendapatan utama mana-mana kerjaan di dunia. Bloomberg juga menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi China daripada 5.2% kepada 1.4%. Ini termasuk penguncupan 11% pada suku pertama.
Bagi Amerika Syarikat pula, Bloomberg melaporkan bahawa dalam tempoh 12 bulan, kemungkinan untuk berlaku kemelesetan adalah sebanyak 53%. Perkara ni diburukkan lagi dengan perang minyak antara Rusia dan Arab Saudi. Kemelesetan yang teruk akan membawa kepada peningkatan kadar pengangguran. Amerika Syarikat memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi mereka berjumlah $2 Trillion untuk selamatkan ekonomi mereka daripada terus merudum akibat COVID-19. Selain tu, Britain juga mengumumkan pakej rangsangan ekonomi US $400 billion pada Selasa lepas bagi menangani wabak ini dan “Lockdown” mereka boleh bertahan sehingga 18 bulan. Di Australia pula, kerjaan mereka meneruskan kuarantin sehingga enam bulan. Antara negara lain yang “Lockdown” atau kuarantin penduduk mereka adalah seperti India, Thailand, Indonesia, Malaysia, Itali dan beberapa negara lain. Sementara China dan Korea Selatan hampir pulih sepenuhnya daripada COVID-19.
International Monetary Fund (IMF) menjangkakan kemelesetan ekonomi pada tahun 2020 hanya akan berakhir pada 2021. Kemelesetan ini adalah lebih teruk berbanding kemelesetan global pada 2008. IMF menggesa negara G20 bersolidariti untuk selematkan ekonomi global. 80 negara sudah membuat pembiayaan kecemasan daripada IMF dan IMF sedia untuk gunakan semua kapasiti pinjaman sebanyak US $1 Trillion. Manakala, pelabur pula telah keluarkan US $83 billion dari pasaran saham, iaitu aliran keluar modal terbesar yang pernah dicatatkan. Goldman Sachs dan Morgan Stanley juga setuju bahawa COVID-19 ini akan menyebabkan kemelesetan ekonomi global. Pertumbuhan ekonomi global dijangka menurun 0.9% tahun ini, Goldman Sachs dan S&P Global pula menjangkakan kelemahan pertumbuhan ekonomi global masing-masing pada 1.25% dan 1%-1.5%. Kesannya akan dirasai seluruh dunia dimana sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan dan perkhidmatan akan terjejas teruk.
Kemelesetan global sudah hampir pasti berlaku pada 2020. Kemungkinan perniagaan untuk bankrap adalah sangat tinggi. Penutupan sempadan antara negara dan keadaan ekonomi di Eropah adalah punca kepada kemelesetan ekonomi global. Manakala, kadar pengangguran global dijangka meningkat 7.8% untuk tahun ini. Kebanyakkan negara di dunia sudah menurunkan kadar faedah terendah dalam sejarah dan kejatuhan harga minyak telah menimbulkan bahaya deflasi global. Apa yang kita perlu lakukan setelah tamatnya wabak ini adalah merancakkan ekonomi negara dengan cara melancong dalam negara, membeli barangan buatan Malaysia, menyokong industri tempatan, berbelanja dalam negara dan membayar cukai secara jujur dan amanah. Kita perlu berdoa kepada Allah SWT supaya kita dijuahkan daripada wabak pembunuh ini. Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya daripada Allah SWT manakala segala yang buruk itu datangnya daripada manusia itu sendiri.
_ Mohd Asri Yusof Md Azhari (Cabaran Penulisan Artikel – Kategori Terbuka)
Comments