Dalam tempoh 6 bulan sahaja, kerakusan Covid-19 telah menjangkiti hampir 3 000 000 makhluk bernyawa di seluruh dunia. Daripada keseluruhan angka tersebut, hampir 200 000 nyawa telah terkorban. Malah, saat artikel ini ditulis pun, sebanyak 1.8 juta pesakit masih masih lagi menderita. Ini belum termasuk kerugian dari segi ekonomi yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat dunia samada syarikat-syarikat gergasi sehinggalah perniagaan kecil dan sederhana (PKS), semuanya mengalami ‘damage’ yang perlu ditanggung oleh penduduk dunia. Saban hari, rakyat dunia terus-menerus menilai tindakan kerajaan dalam usaha menangani pandemik ini. Maka, timbul persoalan, dari kaca mata undang-undang, bolehkah keterlewatan atau kesalahan kerajaan yang mengakibatkan penyebaran pandemik ini dibawa ke mahkamah? Justeru, penulisan artikel ini bertujuan menilai dua entiti kerajaan, iaitu kerajaan China secara umum untuk semua masyarakat dunia, serta kerajaan Malaysia untuk rakyat Malaysia khususnya. CHINA Setelah segala kerosakan berlaku, berpunca daripada kedegilan dan kegagalan kerajaan China, seluruh dunia pasti menuntut agar authoritian negara tembok besar itu dipertanggungjawabkan ke muka pengadilan. European Journal of International Law melalui penulisnya yang merupakan pendakwa raya, Peter Tzeng pernah menyenaraikan senarai peruntukan Perlembagaan WHO yang dilanggar oleh China. Bermula daripada kegagalan melaporkan statistik dan laporan sebenar kepada WHO (World Health Organisation) pada Disember, secara dasarnya ini telah terang bersuluh melanggar Perlembagaan WHO itu sendiri seperti yang termaktub dalam Artikel 63, Artikel 64 dan Artikel 67. Berdasarkan maklumat yang dilaporkan Journal Public International Law, China bukan sahaja melanggar semua peruntukan tersebut, malah Dr Wenliang iaitu ahli perubatan pertama yang menemui penyakit ini di China sendiri pun, ditangkap dan dipaksa memadam semua data malah didera sehingga mengakui beliau tersilap mengeluarkan maklumat, sebelum beliau sendiri mati akibat pandemik itu. Daripada kesemua kesalahan ini, dapatlah kita fahami bahawa China telahpun tidak jujur dalam pendokumentasian data yang dilaporkan. Namun, perlu diingat, menurut WHO sendiri, Perlembagaan WHO hakikatnya tidak pernah ada kuasa penuh untuk mengikat mana-mana negara. Sebaliknya, ianya hanyalah sebuah panduan yang disyorkan untuk menyelaraskan organisasi kesihatan kerajaan di seluruh dunia. Malah, tidak ada satupun peruntukan undang-undang kesihatan daripada WHO yang berkuasa untuk mendakwa mana-mana negara seandainya peruntukan tersebut dicabuli. Benar, WHO sudah mewartakan International Health Rules (IHR) untuk dipatuhi oleh negara-negara. Namun IHR sendiripun berstatus cadangan dan panduan, bukannya sebuah undang-undang mengikat yang boleh disabitkan kesalahan. Perkara ini bagi menghormati kedaulatan setiap negara untuk mempunyai peruntukan undang-undang kesihatan yang berbeza. Maka, atas dasar inilah menurut CNN News, Missouri sebagai negeri pertama Amerika Syarikat yang memfailkan saman ke atas China untuk menuntut ganti rugi atas pandemik ini, membawa tuntutan tersebut ke ICJ (International Court of Justice) dengan satu tuduhan public nuisance, satu tuduhan abnormally dangerous activities, dan dua tuduhan breach of duty. Daripada kesemua fail tuntutan ini, dapatlah difahami bahawa tuntutan Missouri bukan berkisar tentang Perlembagaan WHO yang dicabuli. Namun, tuntutan Missouri masih lagi terbatas dengan Artikel 30 ICJ Rules of Court (1978), yang menyatakan bahawa mana-mana tuntutan kepada negara-negara yang bersifat Public International Law perlulah mendapat persetujuan daripada kedua-dua negara tersebut untuk dibicarakan. Lantas, seandainya China sudah meramalkan mereka tidak akan berjaya dalam perbicaraan tersebut, sudah tentu sukar untuk mengajak mereka bersetuju kes ini di bawa ke mahkamah. Melihat dari sudut berbeza, di dalam kes Nicaragua v. USA (1984), mahkamah telah memutuskan bidang kuasa peruntukan Perlembagaan WHO seperti Artikel 75 tidak boleh dijadikan legal issue untuk mendakwa sesebuah negara di mahkamah. Namun, di sana terdapat kebarangkalian kecil untuk tuntutan terhadap China berjaya. Antaranya ialah mengangkat semula obiterdicta kes yang sudah berusia 34 tahun ini di mana hakim menyatakan keputusan tersebut boleh dicabar dengan membezakan bidang kuasa WHO yang bukan sahaja berbentuk ‘dispute’, tetapi berbentuk setiap ‘question’ yang merupakan hak untuk setiap negara mendapatkan maklumat sebenar virus Covid-19 daripada China. Dengan itu, maka masih ada kebarangkalian menjayakan tuntutan ini walaupun tanpa persetujuan China agar kes dibicarakan di ICJ. Atau mungkin China boleh secara sukarela bersetuju agar kes ini dibicarakan di mahkamah bagi membersihkan nama mereka dan membuktikan mereka telah berusaha mengawal pandemik ini sejajar dengan kemampuan ‘reasonable man’. Namun, artikel ini berpendapat, jika tanpa kerjasama daripada China sendiri, dapatlah disimpulkan bahawa tuntutan terhadap China ini terpaksa melalui jalan yang sukar dan panjang. KERAJAAN MALAYSIA Setelah menilai kegagalan kerajaan China secara umum, bolehkah kerajaan Malaysia dihukum atas beberapa tindakan lambat sehingga menyebabkan berlakunya kluster besar seperti kluster perhimpunan tabligh Seri Petaling? Bagi menjawab persoalan ini tidaklah serumit penilaian terhadap China. Ini disebabkan legal issue ini telah pun diselesaikan oleh peruntukan undang-undang negara kita dan juga precedent case sedia ada. Dalam sebuah kes yang membicarakan kelewatan kerajaan untuk mengambil tindakan bagi isu penyakit berjangkit, iaitu kes Kerajaan Malaysia & Ors v Lay Kay Tee & Ors (2008), hakim Nik Hashim FCJ memutuskan bahawa dalam mana-mana tuntutan tort terhadap kerajaan, pegawai kerajaan yang bertanggungjawab atas perbuatan tort yang didakwa itu hendaklah dijadikan satu pihak dan liabilitinya hendaklah dibuktikan terlebih dahulu sebelum kerajaan boleh didapati menanggung liabiliti vikarius sebagai prinsipal (ss. 5, 6 Akta Prosiding Kerajaan 1956 (‘GP’)). Adalah tidak memadai untuk hanya mengenal pasti pegawai tersebut tanpa menjadikannya sebagai satu pihak dan terus membawa tuntutan atas nama kerajaan. Hanyalah setelah tuntutan terhadap pegawai tersebut secara peribadi telah dibuktikan, kemudian barulah tuntutan terhadap kerajaan boleh dibuat. Dengan itu, sekaligus menerima rayuan perayu dan membebaskan kerajaan Malaysia daripada tuntutan tersebut. Bahkan, dalam ratio decidendi penghakiman kes tersebut juga ada menyatakan bahawa kelengahan dalam mengambil tindakan atau dalam melaksanakan mana-mana kuasa kerajaan tidak boleh menjadi asas tuntutan. Maka di sini jelas, kerajaan Malaysia tidak boleh disabitkan dengan kesalahan kelewatan tindakan sehingga berlakunya punca kluster. KESIMPULAN Rumusannya, di mata undang-undang, terdapat perbezaan dalam menilai kebarangkalian untuk mensabitkan kerajaan China dan Malaysia dalam isu ini.
Untuk kerajaan China, sekalipun deretan kesalahan mereka dicanang seluruh dunia, namun untuk mendakwa mereka di mahkamah antarabangsa perlu menempuh prosedur yang panjang.
Untuk kerajaan Malaysia, usaha keras kerajaan menangani pandemik ini wajar dipuji kerana dapat dilihat oleh rakyat secara telus. Maka, sekalipun tuntutan atau dakwaan di bawa ke mahkamah, adalah sukar untuk mensabitkan kerajaan Malaysia atas keterlewatan mengambil tindakan sehingga mengakibatkan berlakunya punca kluster.
_ Muhammad Asyraf Hakimi Bin Zaid (Cabaran Penulisan Artikel – Kategori UIAM)
Comentarios