top of page
Writer's pictureBait Al-Amanah

Aplikasi Hipnoterapi: Kelemahan dan Kekuatan Pengunaan Hipnoterapi dalam Intervensi Bersama Klien

Artikel ini membincangkan sebuah kajian kes berkaitan kecelaruan delusi dan aplikasi hipnoterapi dalam membantu individu mengendalikan permasalahan yang dihadapi. Kajian kes membincangkan kes Abdul Kahar Ahmad yang menggelarkan diri sebagai Rasul Melayu sekitar tahun 2005-­2016. Abdul Kahar Ahmad dilahirkan pada 27 April 1950, di Hulu Kelang, Selangor. Abdul Kahar mendapat pendidikan sehingga darjah lima sahaja di sekolah Melayu serta merupakan bekas pesara Zoo Negara. Abdul Kahar mendapat perhatian ramai dengan dakwaan dirinya sebagai Rasul bagi bangsa Melayu. Beliau telah ditangkap pada 16 September 2009 (Zulkarnaen, Hashim, Mohd Zaid, & Sudin, 2010). Mereka juga melaporkan bahawa Abdul Kahar turut bertindak dengan menghantar surat kepada ahli politik, pembesar negeri dan menteri Kabinet termasuk Perdana Menteri, pada ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengaku dirinya sebagai rasul. Abdul Kahar juga mengeluarkan pelbagai kenyataan yang boleh menjejaskan akidah seperti solat lima waktu tidak wajib, al-­Quran sekadar catatan, hadis hanya rekaan manusia malah mendakwa diri mempunyai mukjizat sama seperti nabi dan rasul lain (Md Denin & Baharinam, 2009).

Dalam kes Abdul Kahar di atas, terdapat beberapa kriteria yang dapat dikaitkan dengan kecelaruan delusi. Seperti yang dinyatakan oleh Barlow dan Durand (2009), mereka menerangkan kecelaruan delusi sebagai kepercayaan yang secara umumnya tidak diterima atau dikongsi oleh ahli masyarakat lain. Merujuk semula pada kes Abdul Kahar, beliau mempercayai diri dilantik Tuhan sebagai rasul khusus untuk kaum Melayu. Kepercayaan yang dipegang oleh Abdul Kahar sangat kuat dan kukuh dalam pemikiran beliau sehingga melakukan dakwaan kepada orang ramai. Kelakuan sedemikian selari dengan definisi yang telah diberikan oleh Ablow (1993), iaitu delusi merupakan kepercayaan palsu yang tidak dapat digugat.

Seterusnya, Rowe dan Mink (1993) dan Whitbourne dan Halgin (2013), menyatakan bahawa kecelaruan delusi ini kewujudan berterusan, khayalan bukan pelik yang bukan disebabkan atau mempunyai sebarang simptom mana-­mana kecelaruan mental yang lain seperti skizofrenia, skizofreniform atau kecelaruan mood. Dalam kes Abdul Kahar, kecelaruan yang dapat dikenalpasti hanya pada aspek pemikiran atau kepercayaan palsu beliau. Sepanjang kes beliau, tidak terdapat sebarang kecelaruan mental lain yang dapat dikenalpasti. Selain itu, aspek lain yang dapat dikaitkan kecelaruan delusi dengan kes Abdul Kahar adalah penentuan etiologikal kecelaruan bukan disebabkan faktor seperti mabuk, dadah atau delirium (Rowe & Mink, 1993 & Barlow & Durand, 2009). Seperti yang telah dinyatakan dalam kajian kes Abdul Kahar di atas, tidak terdapat mana-­mana pihak yang mengaitkan Abdul Kahar dengan aspek penyalahgunaan bahan atau alkohol. Secara umum, Abdul Kahar dapat dikategorikan sebagai penderita kecelaruan delusi.

Bagi kes-­kes individu yang menghadapi kecelaruan delusi, dicadangkan rawatan hipnoterapi sebagai kaedah bantuan yang dapat dilakukan bersama mereka. Kebolehan rawatan hipnoterapi untuk memintas minda objektif dan bekerja terus dengan minda subjektif membuatkan rawatan hipnoterapi bersesuaian untuk dijalankan bersama penderita delusi. Dalam mengaplikasikan rawatan bersama penderita delusi, Murray-­Jobsis (1984), telah mencadangkan berapa langkah aplikasi yang dapat dilakukan bersama penderita psikosis. Salah satu teknik yang dapat dilakukan ialah dream production and analysis, dimana klien diminta untuk mencipta sebuah mimpi (Murray-­Jobsis, 1984). Seperti yang dinyatakan oleh Murray-­Jobsis (1984), mimpi tersebut samaada boleh dibentuk sebahagian atau sepenuhnya oleh terapis. Melalui mimpi ini, klien akan melaporkan apa yang berlaku dalam mimpi itu kepada terapis untuk dianalisis dan digunakan untuk mengubah tingkah laku klien (Murray-­Jobsis, 1984). Penderita delusi dapat manfaat daripada kaedah ini dengan mengenali punca pemikiran delusi mereka. Dengan mengetahui maklumat ini, terapis dan klien akan berkerjasama merancang untuk membetulkan, mengubah serta menagkis pemikiran delusi ini.

Telah jelas diterangkan bahawa hipnoterapi banyak memberi manfaat kepada individu sama ada tujuan hipnosis untuk mengubah atau menggalakkan tingkah laku, pemikiran atau mengurangkan kesakitan fizikal (Marti, 1995, Geddes & Grosset, 2001 & The New Guide to Therapies, 2002). Rawatan hipnoterapi bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada individu normal, tetapi seperti kes Abdul Kahar, seorang penderita psikosis, hipnoterapi juga dapat memberi manfaat kepada golongan pesakit mental. Perkara ini merupakan satu kekuatan hipnoterapi dimana Murray-­Jobsis (1984), menyatakan terdapat lebih 30 tahun bukti eksperimental yang menyokong bahawa pesakit mental terutama psikotik, adalah selamat dan boleh mendapat manfaat daripada rawatan hipnoterapi. Salah satu kekuatan hipnoterapi adalah kebolehan rawatan ini untuk akses minda subjektif individu dan meneroka memori zaman lampau serta memori yang telah dilupai individu. Seperti yang dinyatakan oleh Rhondes (1950), hipnosis membolehkan terapis mengakses minda subjektif individu dimana bahagian otak yang mengawal aspek ingatan individu. Hipnosis meningkatkan kebolehan minda untuk mengingat serta mendapatkan memori-­memori masa lampu atau memori-­memori yang telah dilupai individu dengan mudah (Rhondes, 1950).

Manakala, terdapat juga limitasi pada hipnoterapi yang tidak dapat dielak. Salah satu daripada limitasi hipnoterapi merupakan terapis yang mengendalikan sesi hipnoterapi. Memandangkan hipnoterapi merupakan satu kaedah rawatan yang memerlukan pengalaman serta kemahiran banyak untuk menjalankan sesi, terapis yang mengendalikan hipnoterapi perlu berpengalaman dan berkemahiran. Tambahan daripada itu, dalam konteks di Malaysia, ia menjadi sukar untuk mendapat akses kepada rawatan hipnoterapi akibat daripada kekurangan individu yang boleh mengendalikan sesi hipnoterapi. Seterusnya, limitasi hipnoterapi juga merupakan terapis yang mengendalikan sesi hipnoterapi. Dalam proses hipnosis, minda subjektif individu akan terdedah sepenuhnya kepada terapis dan ia mengakibatkan aspek penilaian individu dikawal sebahagian besar oleh yang juru terapi (Rhodes, 1950). Segala cadangan, arahan, maklumat dan input yang diberikan oleh juru terapi akan diterima individu sepenuhnya tanpa sebarang penilain, penolakkan atau bantahan oleh minda objektif (Rhodes, 1950). Oleh itu, wujud kemungkinan individu yang menjalani rawatan hipnoterapi dieksploitasi, dimanipulasi, dan sebagainya oleh terapis. Maka, niat dan tujuan terapis yang mengendalikan sesi hipnoterapi perlu ikhlas dan telus membantu klien serta meningkatkan kesejahteran hidup mereka. Segala perancangan dan tindakan yang akan dijalankan dalam rawatan perlu dibincang dan mendapatkan persetujuan klien serta klien perlu diberikan kebenaran untuk menghentikan atau menarik diri daripada meneruskan rawatan.

Akhir sekali, hipnoterapi yang berkesan dijalankan pada skala mikro. Hal ini bermaksud sesi hipnoterapi dijalankan satu demi satu diantara uru terapi dan klien. Seperti yang dinyatakan oleh Murray-­Jobsis (1984), Rhodes (1950), & Ansari (1991), hipnosis merupakan satu hubungan rapat diantara kedua-­dua terapis dan klien. Mereka menyatakan hubungan yang akrab ini diperlukan bagi mewujudkan keselesaan kedua-­dua pihak supaya sesi hipnoterapi berjalan dengan lancar. Mereka juga menyatakan perkara-­perkara seperti pertukaran pendapat, perkongsian emosi dan pemberitahuan maklumat-­maklumat peribadi diperlukan dalam proses hipnoterapi. Oleh itu, untuk mendapatkan hasil rawatan yang optimum, sesi hipnoterapi dijalankan secara mikro atau satu demi satu. Ia merupakan limitasi kerana wujud limitasi pada jumlah individu yang boleh menerima rawatan pada satu-­satu masa.

_ Mohd Faiz Fansuri Mohd Affandy (Cabaran Penulisan Artikel – Kategori Terbuka)

7 views0 comments

Comentarii


Post: Blog2_Post
bottom of page